![]() |
| Fazlina Mustafa Kamil (kanan) menerangkan sesuatu kepada isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abdul Rahman (kiri) ketika pembukaan Kafe Big Apple Donut miliknya baru-baru ini. |
MEMPUNYAI personaliti yang menarik, tinggi lampai, berkulit cerah, peramah ditambah memiliki suami yang penyayang, anak-anak yang comel dan kehidupan yang serba lengkap boleh dikatakan cukup bertuah buat Fazlina Mustafa Kamil, 33.
Ibu kepada tiga orang anak itu, Nurul Fatiha, 11, Iman Firdaus, 8, Imran Farish, 4, merupakan pengarah Syarikat Iter Niaga, sebuah syarikat teknologi maklumat.
Selain itu beliau juga merupakan pengarah Syarikat Vitara sebuah syarikat logistik, memiliki francais Kafe Big Apple Donut di Dataran Pahlawan, Melaka Bandaraya Bersejarah dan sebuah butik pengantin di Kota Kemuning, Shah Alam.
Menurut bekas pramugari yang pernah berkhidmat selama lima tahun dengan Penerbangan Malaysia itu, dia tidak pernah menyangka akan membabitkan diri dalam dunia perniagaan.
Namun ajakan suami, Mohd Zubairy Hussin untuk sama-sama membangunkan perniagaan yang telah didirikan membuka pintu hatinya untuk mencuba. Fikirnya daripada duduk sahaja di rumah, mungkin dia turut boleh membantu perniagaan suaminya.
''Walaupun saya tidak pernah mempunyai pengetahuan asas atau mengikuti sebarang kursus perniagaan namun Alhamdulillah saya dapat melakukannya dan kini perniagaan kami ini berjalan dengan lancar,'' kata wanita yang berasal dari Negeri Sembilan itu.
Jika syarikat Iter Niaga dan Vitara diasaskan oleh suaminya, Fazlina memberanikan diri untuk memulakan perniagaan sendiri.
Dengan dorongan dan galakan, dia melabur sejumlah wang bagi membuka francais Kafe Big Apple Donut di Dataran Pahlawan, Melaka Bandaraya Bersejarah. Kafe Big Apple Donut itu merupakan cawangan yang ke-20 di Malaysia.
''Sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan serta pelancong daripada dalam dan luar negara. Pagi-pagi lagi mereka sudah berbaris bagi membeli kopi dan donut untuk sarapan. Ramai yang menikmati kopi dan donut di situ kerana suasananya santai dan turut dilengkapi dengan kemudahan wifi.
''Walaupun tidak setiap hari saya berada di sana namun seminggu sekali saya pasti akan ke Melaka bagi mempastikan semuanya berjalan lancar,'' ujar Fazlina.
Dia menambah, sambutan menggalakkan itu membuatkannya terfikir untuk mengadakan khidmat penghantaran Big Apple Donut di seluruh Melaka tidak lama lagi.
Mengenai cabaran yang dihadapi dalam dunia perniagaan dan terpaksa bersaing dengan kaum lelaki dan pelbagai bangsa, Fazlina berkata, dia mengambil sikap positif dengan apa yang dihadapi.
''Cabaran memang hebat namun sebagai seorang ahli perniagaan, saya harus berani menyahut cabaran. Kalau kita tidak mencuba, kita tidak akan tahu tahap kemampuan kita,'' katanya.
Mengenai fesyen, kata Fazlina, dia meminati yang ringkas tetapi cantik, mengikut kesesuaian umur, tidak terlalu seksi dan tidak terlalu konservatif.
Di masa lapang dia gemar bersiar-siar dengan motosikal berkuasa besar BMW GS 650 bersama suami dan kawan-kawan yang berkongsi minat yang sama atau bermain golf.
Sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya, Fazlina tidak melupakan tanggungjawabnya. Setiap pagi, dia akan mempastikan dapat bersarapan bersama suami dan anak-anak, kemudian menghantar anak-anak ke sekolah kemudian bersenam dan seterusnya baru ke pejabat bagi menyelesaikan sebarang tugasan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: