Thursday, August 26, 2010

Gading gajah, tanduk badak sumbu dari Kenya dirampas


PIHAK berkuasa Kenya memeriksa gading gajah dan tanduk badak sumbu yang dirampas selepas dilaporkan mahu diseludup ke Malaysia di Lapangan Terbang Jomo Kenyatta Nairobi, Sabtu lalu.


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Bukan sahaja dadah, malah warga Afrika kini semakin berani apabila cuba menyeludup gading gajah dan tanduk badak sumbu pula ke negara ini.

Begitulah dilakukan sekumpulan sindiket dari Kenya, Afrika. Bagaimanapun cubaan mereka menyeludup gading dan tanduk haiwan-haiwan yang bernilai jutaan ringgit itu gagal apabila dihidu pihak berkuasa negara berkenaan, Sabtu lalu.

Gading dan tanduk haiwan dilindungi itu ditemui disimpan di dalam 12 kotak kayu besar yang diisytiharkan sebagai buah avocado di Lapangan Terbang Jomo Kenyatta Nairobi, Kenya.

Kejayaan tersebut diperoleh semasa pemeriksaan dijalankan di lapangan terbang berkenaan dengan menggunakan anjing pengesan.

Pemeriksaan mendapati gading gajah dan tanduk berkenaan dibalut dengan kertas hitam dan daun pisang sebelum diselitkan di celah buah avocado yang turut diletakkan di dalam kotak kayu terbabit.

Berdasarkan maklumat pada kotak kayu tersebut, barang-barang itu akan dibawa ke Dubai sebelum dihantar ke Malaysia.

Hasil siasatan lanjut, pihak berkuasa negara berkenaan berjaya memberkas dua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Misliah Mohamad Basir berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Kenya sebaik sahaja mereka berjaya mematahkan cubaan sindiket tersebut.

"Pihak berkuasa Kenya ada menghubungi kita memaklumkan mengenai kejayaan mereka mematahkan cubaan menyeludup gading gajah dan tanduk badak sumbu itu.

"Siasatan mendapati gading gajah terbabit diambil daripada kira-kira 150 ekor gajah dan dikumpulkan sejak hampir dua dekad lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Misliah berkata, pihaknya dimaklumkan Malaysia adalah destinasi penghantaran bagi dua tan gading gajah dan badak sumbu yang cuba diseludup menggunakan penghantaran udara itu.

Beliau berkata, Perhilitan akan menyiasat dakwaan tersebut dengan mengesan dalang, jenis penerbangan dan modus operandi yang digunakan oleh kumpulan sindiket berkenaan.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada kerajaan Kenya mengenai perkara tersebut bagi membolehkan pihak yang bertanggungjawab dalam kegiatan haram itu dikenal pasti dan diberkas.

"Yang menjadi tanda tanya pihak kami adalah ke mana gading dan tanduk terbabit akan dijual atau dipasarkan di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: