Sunday, August 15, 2010

Fitri jaguh muda dalam pembikinan


FITRI (tengah) sentiasa mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan serta kru pasukan Caviaga Modenas Cilik Motorsport.


NAMA Fitri Ashraf Razali semakin mendapat perhatian lawan dan kawan dalam dunia Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim ini.

Segala-galanya kerana kejayaan Fitri memenangi saingan Pusingan 2 kategori Wira yang berlangsung di Litar Kluang, Johor awal April lalu.

Kejayaan itu sekali gus mengangkat nama Fitri dan pasukannya, Caviaga Modenas Cilik Motorsport ke satu tahap yang begitu tinggi.

Bersaing dengan nama-nama besar lain seperti penyandang juara, Azhar Abd Jalil dan naib juara musim lalu, Mohd. Adib Rosley, segalanya bukan halangan buat Fitri.

Seorang yang cukup merendah diri, namun memiliki keyakinan dan keazaman yang kuat, Fitri masih berharap pencapaian yang dikecapinya tidak hanya terhenti dipertengahan jalan, sebaliknya terus konsisten sehingga berakhir kalendar musim ini.

"Sekalipun saya masih ketinggalan dengan dua pencabar (Adib dan Azhar), bagi saya, peluang masih lagi terbuka buat mana-mana pelumba.

"Selagi saingan belum melabuhkan tirainya, selagi itu saya akan memerah keringat untuk terus memburu mahkota kejuaraan musim ini," jelas Fitri.

Untuk rekod, pelumba berusia 16 tahun dari Bukit Beruntung, Selangor ini kini berada di tempat ketiga keseluruhan dengan 79 mata di belakang Adib (100) dan Azhar (97 - kedua-duanya dari pasukan Motul Yamaha YY Pang).

Mengimbau kembali detik-detik awal pembabitannya dalam dunia perlumbaan motosikal, Fitri menyifatkan penglibatan di usia muda mampu memberi kelebihan buat mana-mana pelumba yang menyertai cabaran sukan pemotoran.

"Namun, masih banyak kemahiran skil menungggang yang perlu saya pelajari untuk menjadi pelumba terbaik.

"Setiap kali berada di atas trek, saya akan cuba memperbaiki segala kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini.

"Tahun ini saja, saya berdepan dengan asam garam perlumbaan sebenar. Ada menang, ada juga yang mengecewakan.

"Saya memasuki bidang ini sejak berusia enam tahun bermula dengan perlumbaan mini bike.

"Dari situ, timbul minat dan akhirnya saya semakin selesa memecut jentera di atas trek.

"Bermula dari situ juga, minat saya semakin mendalam dan saya berhasrat di masa depan mampu membawa jentera lebih besar seperti 600cc," ujarnya.

Dalam dunia pemotoran, pahit manis dalam lumba motor tetap menjadi asam garam kepada para pelumba.

Ia juga tidak mampu dielak sekalipun Fitri bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada menjadi korban atas kesilapan sendiri mahupun pelumba lain.

"Seboleh-bolehnya kami cuba mengelak daripada terbabit dengan kemalangan atau ditimpa insiden. Untuk itu, hanya dengan memberi tumpuan kepada perlumbaan saja dapat mengelak daripada musibah tersebut.

"Kerana itu, kemahiran dan tunjuk ajar daripada jurulatih se- belum ini perlu dipergunakan terutama ketika berdepan dengan selekoh, penggunaan gear dan clutch dengan baik serta memahami laluan perlumbaan (race line) yang betul," ujar Fitri yang mendapat tunjuk ajar dari bapanya sendiri dalam perlumbaan musim ini.

Bercerita mengenai dunia akademik pula, pelajar tingkatan empat Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Taman Bunga Raya (1) di Bukit Beruntung ini berharap hobi kesukaannya itu tidak menjejaskan persiapan yang dilakukan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Menurutnya, aktiviti pemotoran bukan suatu halangan untuk berjaya dalam pelajaran.

Selain pandai membahagikan masa antara dua bidang itu, Fitri juga cukup bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang sering mengingatkan dirinya mengenai status sebagai seorang pelajar.

"Aktiviti perlumbaan biasanya dijalankan pada hujung minggu, jadi tiada masalah untuk saya mengulang kaji pelajaran.

"Andai ada perkara yang saya ketinggalan atau tidak tahu, paling mustahak saya ada mendapat nasihat guru dan bantuan rakan-rakan.

"Ibu bapa saya pula sering memantau perkembangan saya dalam pelajaran. Andai keputusan peperiksaan kurang memuaskan, mereka akan mengehadkan aktiviti saya dan jika perlu mengambil kelas tambahan, barulah saya kembali giat semula dalam aktiviti sukan bermotor ini," jelas Fitri yang mengharap- kan kejayaan dalam kedua-dua bidang tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: