![]() |
| SAZALI tekun menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Bina Badan Dunia di India, Oktober depan. |
BERMULA dengan hanya sekadar ‘suka-suka’, jaguh bina badan negara, Sazali Samad kini berada dalam kelas yang tersendiri.
Segala-galanya bermula apabila Deputi Supritenden, Roslan Ahmad berjaya menghidu bakat yang dimiliki Sazali, lantas menawarkannya untuk bergelar atlet bina badan.
Apa yang menarik, Sazali yang ketika itu mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menunggu lama untuk menempa nama dalam arena sukan bina badan tanah air.
Mana tidaknya, Kejohanan Bina Badan Malaysia 1991 yang julung kali disertai- nya telah menyimpan 1,001 kenangan buat bapa kepada empat orang ini.
Dengan hanya berbekalkan usaha gigih ketika menjalani latihan, Sazali berjaya muncul juara dalam kategori 65 kilogram (bantamweight), sekali gus melayakkannya bergelar Mr. Malaysia.
Lebih manis, kejayaan tersebut membuka sinar baru buat Sazali apabila PD- RM menawarkannya untuk menjadi seorang anggota polis dan atlet bina badan pasukan beruniform itu.
Ternyata peluang itu tidak disia-siakan Sazali yang terus gigih menjalani latihan untuk bergelar atlet bina badan yang dikenali di seluruh dunia.
Kejayaan demi kejayaan yang berjaya dilakarnya sehingga kini seharusnya menjadi motivasi buat atlet-atlet sukan negara yang lain.
Mengangkat Datuk Malek Nor sebagai idolanya, Sazali ternyata berterima kasih kepada individu yang dianggapnya sebagai legenda bina badan tanah air itu yang memperkenalkan sukan tersebut di Malaysia.
“Saya mula tertarik dengan sukan bina badan sewaktu ditingkatan lima lagi apabila ketika itu saya menyaksikan Malek Nor berjaya meraih gelaran Mr. Asia.
“Sejak daripada itu saya menyimpan cita-cita sekiranya nasib memihak kepada saya, saya ingin menjadi sepertinya (Malek Nor),” jelas Sazali yang ditemu bual Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Kini, tanpa perlu diperkenalkan, Sazali sememangnya bukanlah nama asing dalam sukan bina badan, baik dalam negara mahupun di pentas dunia.
Meskipun telah bergelar juara dunia sebanyak lima kali, anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor ini tidak pernah meninggi diri.
Sebaliknya, dia sentiasa melahirkan penghargaan terhadap pihak-pihak yang telah banyak membantu dalam kariernya sepanjang menjadi atlet bina badan.
“Tanpa bantuan daripada MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan majikan saya sendiri PDRM, saya merasakan yang saya tidak mampu untuk mencapai tahap seperti hari,” katanya.
Sebagai rekod, Sazali yang telah 18 tahun membabitkan diri dalam sukan bina badan mencipta sejarah tersendiri apabila muncul satu-satunya atlet dari Malaysia yang pernah merangkul gela- ran Mr. Universe.
Kejayaan itu dilakar pada Kejohanan Bina Badan Dunia 2000 di Melaka, 2004 (Rusia), 2006 (Republik Czech), 2007 (Korea Selatan) dan 2009 (Dubai).
Sazali bukan sahaja cemerlang di pentas dunia, malah dia tidak ada tandingan- nya di kalangan atlet-atlet bina badan di Asia.
Buktinya, dia berjaya meraih gelaran Mr. Asia sebanyak tujuh kali dan disebabkan itu, kredibilitinya selaku atlet bina badan sudah tidak boleh dipertikai- kan lagi.
Mengakhiri saingan di tempat ketiga pada Kejohanan Bina Badan Asia 1992 di Jakarta, Indonesia, Sazali tidak mudah putus asa bagi memburu kejuaraan mutlak.
Segala pengorbanannya terbalas apabila dia berjaya bergelar Mr. Asia buat julung kalinya pada 1996 di India.
Kejayaan tersebut tidak terhenti begitu sahaja apabila dia terus mendomi- nasi gelaran Mr. Asia pada 1998 di Vietnam, 1999 (Taiwan), 2000 (Hong Kong), 2004 (Bahrain), 2009 (Thailand) dan terbaru di Iran.
Lebih membanggakan kejayaan terbaru yang direkodkan Sazali itu berjaya memadamkan rekod lama yang dipegang Malek Nor yang merekodkan gelaran Mr. Asia sebanyak enam kali.
“Secara jujurnya, saya langsung tidak memikirkan sama ada berjaya memecahkan rekod yang dipegang Malek Nor ataupun tidak.
“Bagi saya, ia merupakan rezeki saya kerana saya sememangnya menganggap Malek Nor sebagai idola.
“Setiap kali saya memasuki sebarang kejohanan, apa yang difikirkan hanyalah untuk melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara,” kata Sazali lagi.
Sazali berkata, untuk bergelar Mr. Universe dan mempertahankan kejuaraan tersebut, ia sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah.
Ditanya mengenai penjagaan pemaka- nannya pula, Sazali mememberitahu: “Memang banyak pantang larang dalam soal pemakanan.
“Namun, nasib saya baik kerana ada seorang pakar daripada ISN, Ahmad Zawawi Zakaria yang sentiasa memantau dan menasihatkan saya dalam aspek pemakanan ini.
“Untuk menjadi atlet bina badan yang berjaya, kita perlu merendahkan tahap kolestrol dalam badan selain lemak-lemak yang dikhuatiri mampu mendatang- kan penyakit,” katanya.
Dalam pada itu, kedatangan bulan Ramadan kali ini ternyata tidak menjadi penghalang buat Sazali untuk terus memburu gelaran Mr. Universe pada Ke- johanan Bina Badan Dunia 2010 di Varanasi, India, Oktober depan.
“Diharapkan saya mampu untuk melakarkan kejuaraan buat kali keenam pada kejohanan dunia nanti,” jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: