Friday, August 6, 2010

Farawahida terus mengorak langkah



Nama penyanyi Farawahida seakan sepi dari industri hiburan tanah air selepas kontroversi perang dingin dengan pengurusnya ketika itu. Malah wajahnya juga jarang dilihat di dada akhbar mahupun di televisyen.

Namun di sebalik ‘kehilangan’ penyanyi berkulit hitam manis yang mesra disapa Fara, rupanya ada agenda tersendiri yang direncana pelantun Tanpamu ini.

Fara yang ditemui baru-baru ini menafikan dirinya merajuk atau sengaja menghilangkan diri. Tanpa berselindung, Fara mengakui berdebar menantikan tayangan filem komedi pertama lakonannya, Baik Giler arahan Mansor Akob atau Manchi.

“Penglibatan Fara dalam layar perak disebabkan Fara teringin untuk beralih angin di samping mengembangkan lagi karier seni Fara. Fara harap akan dikenali sebagai seorang artis yang versatil.

“Fara akui sejak kontroversi itu nama Fara seolah-olah sepi dari industri. Tetapi Fara bukan merajuk sebaliknya sibuk dengan penggambaran filem dan ini adalah sebagai salah satu peringatan bahawa Fara belum ‘bersara’ daripada industri,” katanya yang sebelum ini pernah menjadi salah satu tunjang di dalam teater Sinbad.

Ketika ditanya mengenai keberaniannya menjadikan filem komedi sebagai filem pertamanya, Fara mengakui dia hanya mahu menimba pengalaman dan menjadikan filem ini sebagai platform sebelum mengorak langkah lebih jauh lagi.

Menurut Fara jika diberi peluang dia teringin untuk melakonkan watak seorang pembunuh namun gadis berdarah campuran Melayu Pakistan ini mengakui dia masih hijau untuk membawa watak besar seperti itu.

“Walau bagaimanapun jika diberi peluang melakonkan watak-watak lain dan Fara merasakan sesuai dan mampu dijayakan, Fara tidak kisah untuk menerima,” kata bintang yang pernah mendapat jolokan Kajol Malaysia ini.



Nyanyian tetap jadi keutamaan

Sementara itu, Fara menafikan akan melupakan bidang nyanyian yang dianggap sebati dengan jiwanya.

Jelas Fara, dalam masa terdekat ini dia akan tampil dengan single terbarunya yang masih dalam proses pembikinan.

“Kalau mengikut perancangan awal, Fara akan mengeluarkan single terbaru Fara pada Mei lalu. Tetapi kerana komitmen jadual penggambaran yang padat, Fara terpaksa menangguhkan perancangan itu dahulu.

“Fara sekarang tidak terikat dengan mana-mana syarikat. Fara lebih senang bergerak sendiri dan sentiasa menerima tawaran persembahan nyanyian,” katanya.

Fara menambah lagi, wang hasil persembahan nyanyian itulah yang digunakan untuk menjadi modal pembikinan singlenya itu dan tidak ada mana-mana pihak yang menjadi penaja untuk projek terbarunya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: