Friday, August 6, 2010

Nabil tunai janji tidak mengecewakan dalam Cuci



Janji ‘adik baru’ dalam Cuci The Musical 2, Nabil yang tidak akan mengecewakan audiens menyaksikan pementasan Cuci nyata dikotai apabila dia berjaya menghidupkan watak C’Tan tanpa dibayangi AC Mizal yang pernah membawa watak itu ketika Cuci The Musical 1.

Walaupun tidak pernah melibatkan diri dalam persembahan teater sebelum ini, tetapi ia tidak menjadi masalah besar buat pelawak popular ini untuk menjayakan pementasan teater Cuci yang kini sedang berlangsung di Istana Budaya.

Gelanggang teater sememangnya berisiko tinggi dan mampu menyebabkan pelakon senang tergelincir daripada landasan lakonan, namun Nabil sebaliknya berhasil meluahkan bakat sebagai pelakon lebih daripada apa difikirkan. Ironi, C’Tan bukan satu bayangan orang lain.

Walaupun Nabil beberapa kali seperti terlupa dialog dan rentak tarian, ia sedikit pun tidak mencacatkan persembahannya.

Malah Nabil sendiri secara spontan tidak dapat menahan tawa kerana kelucuan mendengar serta menyaksikan tiga pendukung lainnya, Hans Isaac sebagai Khai, Afdlin Shauki (Fairil) dan Awie (Jojo) beraksi di luar kawalan. Keempat-empat mereka melunaskan karakter sebagai adik-beradik.

Dengan humor menjadi Nabil, keperibadian murni Hans serta emosi seorang abang juga pemimpin kepada adik beradiknya, Afdlin melengkapkan cerita yang berkisar tentang empat adik-beradik dengan keinginan tinggi melangit untuk memberi servis mencuci tingkap di Menara Berkembar Petronas itu.

Impian mereka itu bagaimanapun hanya terlaksana jika menyertai dan perlu memenangi pertandingan Window Washing Olympics (WWO) yang dikepalai oleh CJ lakonan Vanidah dan bapanya, Tan Sri Ariffin lakonan Rehman Rashid.

Sementara itu, juara bertahan WWO beberapa tahun berturut-turut, Wira Maju diketuai Wira (Harith Iskdandar) yang pada waktu sama mencintai CJ. Gara-gara hati CJ lebih tertarik kepada Khai, syarikat empat beradik itu iaitu Cuci Cuci Services dibenarkan bertanding.

Sementara itu pujian juga harus diberikan kepada Jaclyn Victor yang membawa watak Jessy. Kelantangan serta kemerduan vokalnya tidak perlu dipertikaikan lagi, tetapi lakonannya sebagai pembantu CJ serta kekasih Jojo mungkin perlu diperbaiki lagi kerana Jac kelihatan sedikit kaku apabila bersama mereka.

Selain itu keistimewaan Cuci ditambah dengan kelainan seperti Reefa yang bertindak sebagai pencerita untuk pelbagai situasi dan disampaikan dalam bentuk nyanyian yang mencuit hati.

Teater muzikal dengan durasi dua jam itu turut mempersembahkan lagu-lagu seperti Impianku, Apa Di Hati, Apakah Ini Cinta, Janjiku Pada Ummi, Dua, Bilakah Akan Tiba Harinya, Apa Dah Jadi, Kenyataan dan Pasti Ada Cahaya.

Kepada peminat, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Cuci The Musical 2 di Istana Budaya sehingga 9 Ogos ini. Tiket-tiket dijual dengan harga RM33, RM53, RM83, RM123, RM163 dan RM193.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: