Wednesday, August 25, 2010

Ewah-Ewah Raya meriah dengan gelak tawa

Ewah Ewah Raya kembali dengan lebih lucu, lebih sengit dan lebih keseronokan! Bersama hos, Raja Azura dan Nabil, Ewah Ewah Raya bakal bersiaran pada hari raya keempat, pada jam 11.02 pagi di Slot Senda Pagi, TV3.

Menampilkan artis-artis ternama seperti Fouziah Gous, Iqram Dinzly, Erry Putra, Erra Fazira, Fizo Omar dan Danny X-Factor, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan dengan permainan yang cukup menarik.

Sebelum bergelar juara, mereka harus menempuhi tiga cabaran iaitu ‘Bola Sumo’, ‘Titi Ketupat’ dan ‘Tiup Bola’ yang menguji ketahanan fizikal dan mental mereka.

Menerusi Bola Sumo, seperti mana sukan bola jaring kedua-dua kumpulan dikehendaki merebut bola dan memasukkan bola tersebut ke dalam jaring. Aksi rempuh-merempuh kedua kumpulan ini meninggalkan momen yang paling lucu.

Manakala, permainan Titi Ketupat memerlukan kedua-dua kumpulan ini mengambil sebanyak mungkin ketupat yang digantung ketika meniti jambatan. Nampak seperti mudah tetapi mereka terpaksa menghadapi halangan dibaling bola oleh pihak lawan.

Cabaran terakhir ialah Tiup Bola, permainan ala ‘football’ ini merupakan cabaran paling sukar kerana peserta hanya boleh menggunakan mulut untuk meniup bola.

Menariknya, permainan ini turut menjemput penonton untuk membantu kedua-dua kumpulan dan pastinya suasana bertambah kecoh!

Di akhir rancangan juga, penonton akan menyaksikan, Rumah Biru yang diwakili oleh Erra Fazira, Fizo Omar dan Danny X-Factor disimbah dengan air sejuk, walaupun telah menjuarai pertandingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: