Wednesday, August 25, 2010

Danny kembali sendiri Ramadan ini



Setiap orang pasti akan melalui pelbagai pengalaman suka duka di dalam hidupnya. Tidak terkecuali bekas anggota X-Factor, Danny yang terpaksa menelan hakikat kembali sendiri menyambut Ramadan dan lebaran tanpa buah hati tersayang.

Pemilik nama penuh Mohd Khardanie Anwar ini mengakui telah melalui episod putus cinta dengan pelakon dan model Ana Alisha, yang pernah popular menerusi iklan syampu Rejoice, kira-kira empat bulan sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Walaupun pada mulanya enggan bercerita lanjut dan tidak mahu mengenang kembali episod duka itu, pelakon dan juga penyanyi berusia 30 tahun ini bagaimanapun mengakui masih berkawan baik dengan Ana Alisha sehingga kini.

“Walaupun kami sudah putus selepas tiga tahun bersama namun kami tidak pula bermusuhan. Kami masih berhubung, bertanya khabar sebagai sahabat. Buat apa nak gaduh-gaduh. Mungkin pada masa ini kami lebih sesuai berhubung sebagai kawan sahaja.

“Saya tidaklah memikirkan sangat tentang perasaan saya dan sebagainya sebab saya sibuk dengan kerja dan juga pengajian saya. Apabila kita sibuk kita boleh melupakan duka dalam hati kita,” katanya yang ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Naraya International Sdn Bhd, di hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Peruntukan lebih duit raya

Sementara itu ketika ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Syawal yang akan tiba, Danny yang kini dilantik sebagai jurucakap produk tuala wanita, SHE, mengakui menyambut kedua-dua bulan mulia itu secara sederhana.

“Pad bulan puasa ini jika tidak terlibat dengan jemputan berbuka, saya lebih senang siapkan tugasan kuliah serta menjalankan tanggungjawab sebagai jurucakap SHE.

“Dalam masa yang sama, saya juga ingin mempertingkatkan ibadat di samping membuat amal jariah,” kata Danny yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Kelantan.

Danny berkata, tahun ini juga dia memperuntukkan lebih duit raya memandangkan anak-anak buahnya semakin bertambah.

“Tahun ini saya memperoleh tiga orang anak buah baru, menjadi 15 semuanya. Jadi peruntukan raya tentunya dilebihkan kepada mereka,” katanya yang sudah pun membeli sepasang baju Melayu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: