Sunday, August 29, 2010

Bak galeri kehidupan




BANGLO putih satu tingkat itu bukan sekadar tempat untuk menjamu selera. Ia ibarat sebuah galeri, yang sarat dengan pelbagai kisah dan cerita di dalamnya.

Kokopelli Travellers Bistro adalah gelanggang kehidupan bagi sepasang suami isteri, Ariff Awaluddin dan Soraya Yusof Talismail.

Pasangan sehati sejiwa itu ternyata punya minat yang sama. Mereka bukan sahaja meminati dunia fotografi dan seni halus, malah kedua-duanya turut berkongsi obses dalam bidang makanan.

Obsesi mereka diterjemahkan melalui Kokopelli, sebuah bistro yang menyajikan makanan Barat dan tempatan yang sudah bertapak lebih lima tahun lalu.

“Kami mewujudkan Kokopelli setelah sedar tidak banyak restoran makanan Barat atau Itali yang halal di sekitar ibu kota. Jika sekali pun makanan yang dihidangkan halal, mereka masih menjual minuman keras, membuatkan sesetengah pengunjung berasa tidak selesa,” kata Ariff membuka bicara bagaimana perniagaan mereka bermula.

Menurutnya, selain menjanjikan hidangan yang enak, mereka cuba menjadikan suasana restoran tersebut selesa dengan rekaan dalaman ibarat berada di rumah sendiri. Kerana itu Ariff dan Soraya tidak segan turun padang melayan tetamu yang bertandang dan beramah mesra dengan mereka.

Pasangan suami isteri itu bijak menata rias banglo kecil tersebut. Kata mereka, semuanya ditentukan sendiri tanpa menggunakan khidmat perunding rekaan dalaman. Dari proses mengecat semula bangunan, hinggalah susun atur perabot dan kerusi meja dilakukan sendiri.

Walaupun binaannya biasa, Kokopelli dirias ringkas, tidak serabut dengan bahagian luar dikekalkan seperti sebuah taman Inggeris yang subur.

Warna putih melatari seluruh bahagian banglo luar dan dalam. Kata Ariff, pemilihan warna itu melambangkan bersih dan luhur. Lagi pun, ia mudah dipadankan dan kekal lama.

Dinding bahagian dalam restoran tidak dibiarkan kosong. Selain menjadi ruang pamer karya Ariff dan Soraya, mereka turut memberi peluang kepada bakat-bakat baru mengetengahkan idea.

“Sekurang-kurangnya, sekali dalam setahun kami akan adakan pameran fotografi di sini,” kata Ariff.

Menariknya, Kokopelli juga ibarat diari perjalanan pasangan suami isteri itu ke hampir seluruh pelosok dunia. Bagi pasangan itu, setiap tahun mereka akan bercuti panjang dan menjelajah ke negara orang untuk melihat serta mempelajari budaya di sana.

Sehingga kini, pasangan itu telah sampai ke seluruh benua Eropah, Amerika, sebahagian Asia, Australia, New Zealand dan banyak lagi.

Pelbagai cenderamata yang mereka beli sepanjang percutian tersebut, sedikit demi sedikit dikumpul dan dipamerkan di situ.

Kata Ariff, istimewa percutian mereka tidak seperti orang lain.

“Mungkin orang lain lebih suka melancong. Tetapi, bagi kami mana tempat yang kami sampai, kami akan cuba menjadi seperti penduduk di situ. Menyewa sebuah rumah, masak makanan sendiri dan menjalani aktiviti harian seperti mereka,” katanya.

Ariff dan Soraya juga tidak ketinggalan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan di restoran mereka. Selain menyajikan makanan, Kokopelli kini turut menawarkan bungkusan cenderamata atau “goodies” yang pastinya membangkit nostalgia.

Jika biasanya bungkusan cenderamata diletak dalam bakul dan dibungkus kertas cantik, pasangan itu memilih memasukkannya ke dalam kotak yang tercetak gambar lama sekumpulan wanita muda pelbagai kaum.

“Gambar itu milik ibu mertua saya dan rakan-rakannya yang diambil sekitar tahun 60-an. Ia sangat nostalgia dan menggambarkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Taman Inggeris damai


SUASANA dalaman membuatkan pengunjung berasa seperti di rumah sendiri.


Jika ruang dalam restoran penuh kedamaian dengan alunan muzik nostalgia berkumandang, bahagian luar Kokopelli masih menebarkan aura yang sama.

Biar terletak berhampiran jalan raya utama, kedamaian restoran itu masih terpelihara dek tumbuh-tumbuhan menghijau bak sebuah taman Inggeris yang mempesona. Namun pokok-pokok tropika tetap menjadi pilihan.

Ariff dan Soraya bersama staf mereka yang lain menanam sendiri pokok-pokok tersebut. Di pintu masuk utama, tersergam tumbuhan menjalar dengan akar-akar hampir mencecah lantai mencipta satu keunikan tersendiri.

Pasangan itu juga bijak bermain dengan cahaya. Pada ruang tertentu, mereka menempatkan lampu-lampu hiasan yang indah, menyerlahkan lagi suasana romantis terutama tatkala malam menjengah.

Beberapa buah pasu yang menempatkan tumbuhan akuatik juga sangat indah. Menambah lagi seri ruang luar restoran itu.

Tenang, damai dan mengasyikkan, ambil masa untuk menjamu selera di situ. Di ruang dalam mahu pun luar, pasti Kokopelli tidak mengecewakan anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: