SEMALAM tarikh paling bermakna dalam hidup penyanyi Asmawi Ani atau Mawi apabila dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 29 tahun. Mawi lahir pada 25 Ogos 1980.
Bagaimanapun ketika sedang meniti bahagia pada ketika ini, rumah tangga Mawi dan isterinya, Nora’asikin Rahmat atau Ekin diuji apabila timbul desas-desus Mawi kononnya berkahwin lain dalam diam.
Malah faktor ketiadaan anak selepas berumah tangga mungkin penyebab kepada desas-desus itu.
Hal tersebut turut diakui oleh Ekin yang mendengar gosip sedemikian tetapi wanita ini tetap percaya terhadap kejujuran suaminya itu.
Ujar Ekin, dia pernah mempunyai perasaan curiga dan mahu bertanyakan hal berkenaan kepada Mawi tetapi hatinya tertutup setiap kali melihat wajah suami setiap kali dia pulang dari bekerja.
“Saya pernah mahu bertanyakan hal itu kepada Mawi tetapi bila saya tengok muka dia, saya tidak sampai hati untuk bertanya kerana takut mengguris hatinya.
“Bukannya apa, saya sebenarnya amat percaya kepada kejujuran Mawi. Kalaulah dia betul-betul kahwin, tentulah saya tahu,” katanya.
Menurut Ekin, dia memahami tugas Mawi sekarang amat sibuk di lokasi penggambaran kerana dia bukan sahaja mencuba peluang menjadi pengarah sebaliknya penerbit drama.
Kesibukan Mawi selama ini kata Ekin hanyalah di lokasi penggambaran dan tidak mungkin dia mahu menduakan isterinya itu.
"Setiap hari dia sibuk di lokasi jadi bila masa dia dikatakan berkahwin seorang lagi? Saya faham itu semua gosip yang tidak berasas,” katanya yang menghadiahkan Mawi sebuah alat permainan X-box sempena hari lahirnya itu.
Bagi Mawi pula bukan mudah untuknya bergelar seorang pengarah kerana sehingga ke hari ini dia masih belajar bidang berkenaan dan berharap masyarakat akan menerima setiap produk yang dihasilkan melalui syarikat produksinya, Mawi World Entertainment.
"Saya masih baru untuk mencuba dalam bidang ini dan mahu melihat penerimaan masyarakat terhadap telefilem saya. Impian saya tinggi iaitu untuk menerbitkan sebuah filem pula suatu hari nanti,” kata Mawi selepas pra tonton drama pertama arahannya, Pak Nil... Ibu Kirim Salam yang akan bersiaran pada 17 September akan datang di saluran Astro Prima, pukul 12 tengah hari.
Sebelum ini syarikat produksi Mawi itu telah menerbitkan sebuah drama berjudul Jiwa Kacau yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima lakonan Syed Ali dan Intan Ladyana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: