EKORAN kegagalan pelakon Almy Nadia untuk menghadiri majlis pra tonton filem 4 Madu yang diadakan Rabu lalu, pengarah filem tersebut Prof. Madya A. Razak Mohaideen tekad untuk tidak bekerjasama dengan pelakon itu lagi pada masa akan datang.
Keputusan itu diluahkan oleh A. Razak kerana kekecewaannya dengan sikap tidak profesional Almy kerana enggan menyertai rangka promosi filem komedi itu yang sudah diaturkan sejak awal lagi.
Menurut A. Razak yang ditemui pada pra tonton majlis tersebut, pihaknya telah memaklumkan kepada Almy dan semua pelakon mengenai tarikh dan butiran majlis itu sejak dua bulan lalu bagi memudahkan para pelakon dan karyawan yang terbabit melapangkan diri pada hari berkenaan.
Namun, apabila dihubungi oleh pihak produksi yang mahu mengesahkan kehadiran Almy, pelakon itu sebaliknya memberitahu dia sudah terikat dengan jadual penggambaran di Melaka pada tarikh berkenaan.
"Tindakan Almy yang gagal hadir pada majlis pra tonton filem ini benar-benar mengecewakan saya. Bagi saya dia langsung tidak profesional bekerja dalam industri ini. Tak mungkin saya akan bekerjasama dengannya lagi di masa akan datang.
"Alasan yang diberikan bahawa dia sudah terikat dengan jadual penggambaran adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima sebab pihak kami sudah maklumkan kepadanya mengenai tarikh majlis ini sejak dua bulan lalu," katanya.
Ditanya adakah tindakan terhadap Almy itu disebabkan perselisihan faham yang pernah tercetus mereka sebelum ini, A. Razak berkata, faktor itu adalah tidak berasas langsung sebaliknya menyifatkan tindakan Almy sebenarnya sebagai tidak profesional.
"Kalau saya sebagai orang yang memperkenalkannya ke dunia lakonan pun boleh melupakan dan mengenepikan apa jua isu salah faham yang tercetus sebelum ini, mengapa tidak dia bertindak sewajarnya?
"Jika tindakannya yang enggan hadir pada majlis ini disebabkan terlalu beremosi dengan apa yang pernah tercetus, memang dia tidak profesional.
"Majlis ini diadakan bukan untuk saya dan filem ini semata-mata, malah untuk publisiti kepadanya sebagai pelakon filem ini juga," katanya.
Tambah A. Razak, jika pelakon-pelakon lain yang lebih popular dan berpengalaman seperti Saiful Apek, Rosnah Mat Aris, Fasha Sandha, Rozita Che Wan boleh meluangkan waktu untuk hadir tetapi kenapa Almy tidak boleh berbuat demikian.
"Pelakon-pelakon yang lain pun sibuk juga dengan jadual kerja masing-masing tapi atas dasar profesional mereka boleh tunjuk muka di majlis ini?" katanya.
Filem 4 Madu adalah filem komedi terbaru terbitan Lineclear Motion Picture Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studio dan Berjaya Film Production.
Ia mengisahkan dua adik-beradik tiri Azlan dan Azrul (kedua-duanya dilakonkan oleh Saiful Apek) yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan dipertemukan pada hari pembacaan wasiat tinggalan ayah mereka yang bernilai RM80 juta setiap seorang.
Demi memenuhi tuntutan wasiat itu, Azlan dan Azrul dikehendaki mengahwini empat wanita mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bermulalah gelagat dan kelucuan masing-masing dalam meyempurnakan tugasan itu.
Filem 4 Madu ini bakal menemui penonton di pawagam pada awal bulan hadapan sempena sambutan Hari Raya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: