
IBARAT membelek seleksi busana di dalam taman Inggeris. Juraian dedaun hijau dan rimbunan bunga-bunga tiruan pelbagai warna di setiap sudut menyuntik mood yang tenang.
Apatah lagi dengan kombinasi haruman lavender dan ros yang mempesonakan suasana.
Inilah keistimewaan butik Yan’s Creations – butik yang menggabungkan gubahan bunga dan koleksi pakaian wanita di dalam ruang yang sama. Orang ramai khususnya wanita yang melintas di hadapan butik tersebut pasti mahu singgah walaupun seketika.
“Bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Ini bermakna sambil memilih baju, pelanggan juga berpeluang membeli jambangan bunga. Kadangkala pada awalnya pelanggan hanya datang untuk menggubah bunga tetapi pasti akan membeli sehelai atau dua helai baju dan tudung.
“Iyalah.. sementara menunggu tempahan bunga disiapkan, mereka boleh membelek-belek baju,” ujar pengasas dan pemilik Yan’s Creation, Yani Bakhtiar, 49.
Usaha Yani menjual bunga dan pakaian di dalam ruang kedai yang sama tidak sia-sia. Melihat perniagaan butik berkonsep seperti itu masih kurang di Malaysia, Yani menyifatkan inilah waktu yang terbaik untuk mengusahakannya.
![]() |
| BUTIK Yan's Creation mengajak wanita berani bereksperimen dengan warna terang dan menggabungkan item fesyen moden serta klasik. |
Pada masa yang sama, dia ingin membuktikan bahawa bisnes yang sudah lama dipraktikkan di negara luar juga boleh direalisasikan di sini.
Sambil jari-jemarinya pantas menggubah bunga, Yani menyambung bicara. Jelas anak kelahiran Negeri Sembilan itu, idea menggabungkan bunga dan baju tercetus selepas dia terpaksa menutup butik pakaian jenamanya, Yan’s Collection, di Suria KLCC, pada sedekad lalu.
“Ketika itu sebenarnya saya mempunyai dua buah perniagaan iaitu butik baju, Yan’s Collection dan kedai bunga, Yan’s Creation. Tetapi apabila butik baju di KLCC ditutup saya mula bingung memikirkan tempat yang sesuai bagi menempatkan stok-stok pakaian yang masih berbaki. Lalu ketikalah timbulnya idea untuk melakukan transformasi di Yan’s Creation dengan menjual bunga dan pakaian,” terang Yani yang sengaja memilih konsep dekorasi butik dalam taman.
Melayu klasik
Biarpun gubahan bunga di Yan’s Creation berasaskan gubahan dan rekaan Inggeris tetapi dari aspek busana Yani lebih cenderung menawarkan konsep rekaan pakaian yang unik, Melayu klasik dan Indonesia serta ala gipsi.
![]() |
| SELEKSI baju kurung siap yang diperbuat daripada fabrik berkualiti dan dijahit kemas. |
Selain menampilkan warna gelap dan lembut, pelanggan butik turut berpeluang memiliki himpunan pakaian rona terang dan berwarna-warni. Tambah menarik apabila pengunjung diberi kelonggaran untuk mempraktikkan konsep suai dan padan.
Dalam pada itu, Yani yang pernah menimba ilmu gubahan dan jahitan di Amsterdam dan Australia sentiasa mengikut trend fesyen semasa.
Buktinya, sempena lebaran tahun ini, Yani bukan sahaja menawarkan baju kurung kain kapas dan kebaya fabrik renda yang dipadankan bersama kain batik Jawa. Yani turut mempromosikan kaftan dan jubah moden yang didatangkan dalam pelbagai potongan, perincian dan warna.
“Seperti yang kita sedia maklum, kaftan bukan lagi baju tidur atau pakaian santai di rumah saja. Sebaliknya ia sudah menjadi busana pilihan untuk majlis rasmi, keramaian dan popular di musim perayaan. Potongannya yang longgar dan dihiasi perincian menarik antara faktor kaftan diminati ramai.
![]() |
| KOLEKSI jubah moden turut ditawarkan di butik Yan's Creation. |
“Bagi mereka yang ingin tampil ringkas, gayakan kaftan labuh warna polos. Kalau ingin bereksperimen dengan warna dan suai padan bersama item fesyen lain, pilih kaftan potongan pendek atau separa lutut,” ulas Yani sambil menyarungkan kaftan labuh warna biru firus kepada salah seorang model.
Tambah Yani, kaftan dianggap istimewa kerana ia tampak ideal digayakan wanita bertudung mahupun yang tidak bertudung. Bagi mereka yang tidak bertudung pastikan rambut diikat atau didandan sanggul. Usah biarkan rambut mengerbang begitu saja kerana ia menyebabkan penampilan seseorang kelihatan besar.
Sementara itu, pengunjung disaran agar tidak melepaskan peluang membeli blaus separa lutut yang di belah pada sisi kiri dan kanan. Busana yang memiliki ciri-ciri rekaan ala India itu boleh dipadankan bersama kain batik, songket, pario atau seluar.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: