Sunday, August 15, 2010

Daus AF8 hargai peminat



Sejak berada di dalam Akademi Fantasia 8 (AF8) lagi, Daus telah mempunyai kelompok peminat setia yang tegar menyokong permulaan perjalanan karier seninya.

Walau melihat idola mereka berdepan pelbagai kritikan, peminat setia Daus tetap teguh berdiri dibelakang penyanyi itu sehinggalah Daus dinobatkan pemenang tempat ketiga AF8.

Demi membalas jasa peminatnya yang sentiasa memberi sokongan padu kepadanya, Daus sudi untuk meluangkan masa bertemu peminatnya dalam satu majlis ramah mesra di Restoran Jaam-E-Jam, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tanpa dibebani rasa kepenatan kerana baru pulang membuat persembahan di Sabah sebelum itu, Daus tetap bersemangat demi janjinya untuk meraikan peminat yang telah sedia menanti.

Malah, tanpa berselindung, Daus atau nama penuhnya Muhd Shahril Firdaus Eli menyatakan rasa terharu kerana rata-rata peminatnya tidak pernah berhenti dari menyokong perjalanan kariernya.

“Daus sangat beruntung kerana mendapat penyokong-penyokong yang tidak berbelah bagi menyokong Daus. Walaupun kedengaran klise tapi Daus amat berterima kasih kepada peminat yang menjadi tulang belakang karier seni Daus.

“Walaupun majlis ini tidak dihebohkan secara rasmi, tetapi masih ramai yang hadir untuk meluangkan masa bersama Daus,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebih menarik, kerana minat yang mendalam terhadap Daus, ada antara peminat yang hadir pada malam itu sanggup turun dari Sarawak semata-mata untuk bertemu dengan Daus.

Katanya, majlis ‘Sesi Daus Bertemu Peminat’ adalah majlis yang dinanti kerana diibaratkan seperti membayar hutang di atas pengorbanan yang dilakukan para peminatnya.

Daus berkata, sepanjang majlis berkenaan pelbagai aktiviti diadakan antaranya menyanyi bersama Daus, cabutan bertuah, kuiz teka lagu, sesi dan autograf, upacara memotong kek dan pelbagai lagi.

“Bila Daus buat aktiviti dengan peminat yang hadir pada malam itu, Daus rasa lebih rapat lagi dengan mereka. Daus harap selepas ini akan ada lagi majlis seumpama ini untuk merapatkan lagi perhubungan Daus dan peminat,” katanya.

Sesi Daus Bertemu Peminat itu telah dianjurkan sendiri oleh kelab peminatnya dan di taja oleh Little Tree Trading.

Antara tetamu kenamaan yang hadir pada malam tersebut adalah Fazli Hisahak selaku Pengurus Besar Little Tree Trading dan pengurus Restoran Jaam-E-Jam.

Sementara itu, lima hari selepas tamat konsert finale AF8, Daus telah meluangkan masa selama empat hari pulang ke kampung halaman melepaskan rindu dengan keluarganya.

Lebih manis lagi, sambutan kepulangan Daus di lapangan terbang ibarat menyambut kepulangan seorang wira. Paluan kompang kedengaran sebaik Daus melangkah keluar dari balai ketibaan.

“Daus tidak menyangka walaupun menang tempat ketiga, Daus tetap disambut seperti seorang juara.

“Sepanjang empat hari berada di Sarawak, Daus banyak meluangkan masa bersama keluarga dan melayan peminat-peminat yang datang ke rumah dan yang paling istimewa, Daus sempat berjumpa nenek kerana Daus sangat rapatnya dengannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: