Sunday, August 15, 2010

Spesis baru mungkin pupus

BOGOTA - Spesis baru monyet Amazon dikesan di Colombia baru-baru itu tetapi pengkaji dan pencinta hidupan liar melahirkan kebimbangan bahawa penebangan hutan bagi tujuan pertanian mungkin menyebabkan spesis itu pupus dalam masa terdekat.

Penemuan spesis baru itu diumumkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), :Conservation International:, yang membiayai kerja-kerja penyelidikan itu di tengah-tengah hutan hujan tropika berhampiran sempadan Colombia, Ecuador dan Peru yang dianggap berbahaya kerana menjadi tempat persembunyian puak pengganas.:

Sekumpulan pengkaji dari Universiti Kebangsaan Colombia berjaya mengesan 13 kumpulan monyet spesis baru itu di beberapa kawasan sekitar Caqueta di bahagian selatan negara itu.:

Hasil penemuan yang menakjubkan itu dilaporkan dalam jurnal :Primate Conservation:, Khamis lalu.

Menurut laporan itu, Monyet Titi Caqueta, atau nama saintifiknya :Callicebus caquetensis:, sudah pun berhadapan masalah kepupusan kerana dianggarkan ada 250 sahaja yang masih hidup.

Monyet berkenaan sebesar kucing dan bulu perang kekelabuan; tetapi ia tidak mempunyai tanda putih yang terdapat pada spesis Monyet Titi yang lazim ditemui di Amazon.

"Ini suatu penemuan yang menakjubkan bagi pencinta alam," kata Jeffrey French, seorang profesor biologi dan psikologi dari Universiti Nebraska yang terlibat dalam penyelidikan primat di Hutan Amazon, Brazil.

Monyet Titi Caqueta bersifat monogami, melahirkan hanya satu anak setahun dan biasanya tinggal dalam kumpulan empat sekeluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: