|
|
RAMAI yang menyukai coklat tidak kira kanak-kanak mahu pun dewasa. Ada orang yang mempunyai tabiat mesti makan coklat setiap hari, jika tidak, terasa seperti ada kekurangan.
Coklat yang mahal seperti ini biasanya dipek di dalam kotak yang kemas dan cantik. Mungkin sebab itu jugalah yang menjadikan coklat pilihan yang mudah bagi seseorang untuk dijadikan hadiah.
Bagaimanapun, Amira A. Razak ingin sesuatu yang berbeza bagi coklat yang dibuatnya sendiri. Daripada coklat hingga ke kotak coklat itu sendiri dibuat daripada coklat.
Amira mula menaruh minat dan jatuh hati pada hobi baru membuat coklat yang memberikan pendapatan lumayan kepadanya sejak tahun lalu.
Kata ibu kepada empat orang anak yang sentiasa mencari-cari kelainan dalam setiap produk yang dihasilkan, buat permulaan dia hanya membuat coklat sahaja di rumahnya.
Bagi memperkenalkan produk coklatnya yang pelbagai bentuk itu, dia mengiklankan dalam Facebook dan laman sesawangnya. Daripada situ ramai yang menempah coklatnya yang diberi label Chantique Colours bagi dijadikan cenderahati perkahwinan, pertunangan, cukur jambul, hari jadi, hantaran dan hamper.
Daripada situ, Amira terfikir untuk membuat kotak coklat itu sekali daripada coklat supaya nampak lebih menarik.
''Kotak coklat yang saya buat ini ada pelbagai bentuk seperti bulat, bentuk hati, empat segi bujur dan empat segi tepat. Pelanggan boleh memilih saiz kotak yang mereka kehendaki seperti saiz S, M dan L.
''Di dalam kotak ini dibuat petak-petak untuk diisi coklat. Bentuk coklat di dalam juga pelbagai bagi keperluan dan kesesuaian dengan sesuatu majlis yang hendak diadakan.
''Bukan setakat itu malah pelanggan juga boleh memilih warna kotak dan coklat bagi disesuaikan dengan tema mereka,'' kata Amira.
Tambahnya, selain coklat kosong tanpa inti atau campuran, terdapat coklat yang diisikan dengan badam, kismis dan berangan.
Menurutnya, pelanggan yang membeli tidak perlu bimbang jika coklat cair kerana ia tahan disimpan di dalam kereta cuma jangan diletakkan dalam bonet.
Jika di rumah, coklat Chantique Colours ini tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Cuma simpan seperti biasa dan tahan selama tujuh atau lapan bulan.
Tambahnya, pada masa kini dia sudah mula menerima banyak tempahan untuk cenderahati perkahwinan dan hantaran yang akan dilangsungkan selepas raya nanti.
''Alhamdulillah rezeki sentiasa berterusan. Cuma saya harus lebih rajin mempromosi bagi meluaskan perniagaan,'' jelasnya yang boleh ditemui semasa promosi hari raya di Kraftangan dalam bulan Ramadan ini.
Jika ingin mengetahui lebih lanjut, Amira boleh layari laman sesawang www.cake-chocolates.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: