|
|
SALAM Ramadan kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Ketika bulan puasa ini tiba-tiba saya teringin untuk menikmati bubur maklumlah selepas mengerjakan solat tarawih kebiasaannya saya akan menikmati makanan-makanan yang manis seperti bubur.
Saya sangat menggemari bubur kacang hijau terutama yang dicampur durian. Artikel saya pada minggu ini akan membincangkan bagaimana hendak membuat bubur yang enak.
Ada orang memanggil dengan nama pengat sekiranya bahan utama yang digunakan di dalamnya adalah pisang, ubi kayu dan keledek.
Bahan-bahan asasnya seperti santan, gula, daun pandan dan sedikit garam. Bahan utamanya adalah terserah kepada anda untuk memilihnya sama ada buah-buahan atau tanaman berubi.
Buah-buahan yang digunakan perlu sesuai untuk membuat pengat atau bubur seperti pisang dan nangka yang tidak berair dan tidak terlalu lembut teksturnya. Tanaman berubi yang boleh digunakan pula untuk membuat bubur adalah seperti keledek dan ubi kayu yang memberikan rasa kemanisan dan lemak pada bubur yang dibuat.
Tip yang paling penting untuk anda ketahui ialah anda kena pastikan santan yang tidak pecah ketika proses memasak.
Anda perlu sentiasa mengacau kuah santan yang dimasak itu dengan api yang sederhana. Masak sehingga rasa semua bahan itu sebati.
Jika masak bubur daripada buah-buahan jangan terlalu lama takut buah jadi terlalu lembik. Cukuplah sekadar rasa buah itu sebati dengan kuah bubur itu.
Sama juga sekiranya menggunakan ubi yang hanya perlu dimasak sehingga empuk sahaja. Sekiranya menggunakan kekacang seperti kacang hijau dan pulut hitam untuk membuat bubur, rebuslah sehingga ia kembang dan jangan dibuang air rebusan kerana air rebusan memberikan rasa manis pada bubur.
Letak daun pandan untuk aroma yang lebih menyegarkan. Garam pula berfungsi untuk menambah rasa lemak pada bubur anda tetapi awas jangan terlalu banyak. Sekiranya anda ingin rasa yang lebih enak ketika mengunyah isi bubur anda letakkan sedikit biji sagu.
Biji sagu perlu dimasak bersama kuahnya dan selepas ia kembang barulah dimasukkan bahan utama. Perlu diingat jangan masukkan buah sebelum biji sagu kembang kerana bimbang buah akan menjadi terlalu lembik.
Apa kata hari ini cuba resepi bubur yang saya ambil daripada buku saya Keenakan Pencuci Mulut. Buku ini boleh dibeli di pasaran dengan harga RM18 atau boleh dibeli secara online melalui blog saya di atas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: