Friday, August 20, 2010

Bergaya dengan Little Colony


Kanak-kanak memang seronok jika dapat pakaian baru.


PERSIAPAN baju raya anak-anak biasanya telah dilakukan sejak awal, iaitu sebelum bulan Ramadan lagi. Senang kerana tidak perlu membawa mereka ke kedai semasa bulan puasa. Keletihan berpuasa sudah tentu akan membuatkan mereka meragam dan membuatkan ibu bapa sukar hendak memilih pakaian untuk mereka.

Hari raya merupakan hari yang paling menyeronokkan bagi kanak-kanak. Apa tidaknya, pada hari tersebutlah mereka dapat melaram dengan baju dan kasut baru.

Bagi ibu bapa yang telah membeli awal, pastinya 'letih' dengan keletah anak-anak yang setiap hari menyarung baju baru dan selepas puas, menyimpannya semula.

Tetapi bagi Siti Amelda Badrul Hisham dan adiknya Siti Ardyna Badrul Hisham memang puas memakai baju baru kerana ibu mereka mempunyai butik pakaian kanak-kanak, iaitu Little Colony di Prima Kajang, Selangor.

Pelbagai rekaan pakaian kanak-kanak terdiri daripada bayi sehingga berumur 12 tahun boleh didapati di butik ini seperti seluar jeans, skirt, gaun, kemeja-t, kemeja kanak-kanak dan banyak lagi.

Jenama pakaian yang didapati di sini juga hebat. Antaranya Levi's, Guess, Zara, Polo dan Armani.

Turut boleh diperoleh ialah baju kurung dan baju Melayu khusus untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Cuma ketika fotografi ini, baju kurung dan baju Melayu masih belum siap.

Jadi Amelda dan Ardyna hanya bergaya dengan fesyen moden bersama-sama sepupu mereka, Muhammad Alif Danial Nasaruddin dan Muhammad Aidil Danial Nasaruddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: