HULU TERENGGANU - Ramadan tahun ini adalah yang paling bermakna buat Ku Faridah Ku Seman, 33, apabila dia akhirnya dapat menunaikan ibadah puasa bersama semua lima cahaya matanya yang terpisah sejak lapan tahun lalu.
Wanita itu yang pernah melalui hidup perit di Mataram, Lombok, Indonesia itu berjaya membawa pulang tiga anak hasil perkahwinan dengan seorang lelaki dari daerah tersebut yang dikenali sebagai Rosman kelmarin.
Tiga anaknya, Mohd. Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4 dan Dewi Helen Fiona, 2, berjaya ditemukan kali pertama dengan dua abang mereka iaitu Wan Mohd. Haiman Harith Wan Mohd. Hilmi, 13, dan Wan Mohd. Hazwan, 11, hasil daripada perkahwinan terdahulu.
Kedua-dua beradik itu ditinggalkan bersama ibu Ku Faridah, Zainab Deraman, 58, di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu selepas dia berkahwin dengan Rosman.
Ku Faridah sebelum ini dibawa pulang ke tanah air dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat pada 26 Julai lalu tetapi terpaksa meninggalkan anak-anaknya itu di Lombok.
Ia ekoran dakwaan Ku Faridah bahawa dia telah diceraikan suaminya pada April lalu selepas lelaki itu dikatakan berkahwin dengan wanita lain menyebabkan dia serta anak-anaknya terabai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: