Thursday, August 26, 2010

Tak pernah jumpa ibu bapa


WALAUPUN ibu dan bapa telah mula mendesak mereka berkahwin, Fizz dan Almy masih menunggu waktu yang sesuai untuk menyimpul cinta mereka dengan ikatan perkahwinan.


MENGIKAT cinta selama empat tahun, hubungan antara aktor Fizz Fairuz dan aktres, Almy Nadia bukan lagi satu rahsia. Dalam jangkamasa itu, mereka pernah dikhabarkan berpisah dan juga sudah bertunang.

Itu semua cuma sebaran berita palsu. Bertemu dengan dua figura itu pada majlis pelancaran portal wap Skodeng Artis baru-baru ini, pasangan itu yang kelihatan mesra mengakui mereka sering berbual mengenai perkahwinan.

Namun, apabila ditanya tarikh atau perancangan untuk berkahwin, Fizz dalam tawa kecil memberitahu dirinya belum bersedia 100 peratus. Baginya, banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum mendirikan rumah tangga.

Kata Fizz, dia mahu sediakan payung sebelum hujan. Maka, sebelum jejaka itu dapat menyediakan kehidupan senang kepada bakal isterinya, dia tidak akan berkahwin. "Kahwin? Mungkin bulan Disember tetapi tidak tahu tahun bila.

Memang dalam tempoh percintaan ini kami sering berbual pasal perkahwinan.

"Sebenarnya saya sendiri belum yakin untuk melangkah ke alam perkahwinan. Sebelum mempunyai keyakinan secukupnya, bagaimana saya boleh menjaga orang lain? Buat masa ini saya cuma ada persediaan sebanyak 50 peratus sahaja," ujar Fizz di sisi Almy.




Almy hanya tersenyum mendengar jawapan Fizz tanpa berkata-kata. Walaupun hubungan mereka dilihat stabil, pasangan itu sebenarnya jarang melawat kampung masing-masing terutama semasa menyambut hari raya.

Ini kerana keluarga Almy percaya ia bukan satu petanda baik selagi mereka belum membina keluarga bersama. Akui Fizz, 31, dia tidak pernah beraya di rumah Almy di Pulau Pinang. Almy, 24, juga pernah melawat rumahnya di Bentong, Pahang.

"Keluarga Fizz pernah mengajak saya beraya di rumah mereka. Tetapi keluarga saya mempunyai kepercayaan, jangan tonjolkan diri pada keluarga teman lelaki sebelum mempunyai ikatan sah. Pada keluarga saya, sebelum kahwin kami berdua hanya perlu beraya di keluarga masing-masing," jelas Almy.

Merupakan anak sulung kepada empat adik-beradik, Almy sering berbelanja untuk membeli pakaian raya untuk adik-adiknya. Dia akan balik seminggu sebelum raya kerana mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya.


FIZZ memilih bulan Disember untuk berkahwin tanpa menyatakan tahun bila dia akan berkahwin.


"Rumah kami sangat meriah pada raya pertama. Bukannya meriah dengan jumlah orang di dalam rumah tetapi dengan makanan. Rasanya lebih 20 juadah akan disediakan pada raya pertama," katanya yang baru sahaja menghabiskan rakaman siri Hantu Malam Raya dan Arca Cinta.

Bagi Fizz yang baru selesai tugasnya untuk produksi filem Nur Kasih, dia tidak mempunyai banyak aktiviti sepanjang bulan puasa ini. Selain terlibat dengan rakaman siri Nujum Cyber untuk siaran RTM, dia juga menyertai aktiviti sahur serta berbuka puasa bersama anak yatim.

"Kalau Almy selalu sibuk dengan penggambaran pada bulan puasa, saya pula sebaliknya. Namun, saya hanya akan balik kampung di Bentong dua hari sebelum raya. Kemudian saya akan beraya di Raub (sebelah bapa). Cuma saya tidak pasti berapa lama saya akan bercuti. Semuanya bergantung sama ada saya akan terlibat dalam mana-mana rakaman program raya," kata Fizz.

Sungguhpun mereka sudah lama terlibat dalam dunia lakonan, namun, pasangan itu hanya pernah terlibat dalam dua produksi bersama. Siri itu, Persepsi dan Jangan Bunuh Matahariku.

Kata Almy, dia pada mulanya berasa kekok untuk berlakon sama. Namun, jika diberi peluang pada masa akan datang, dia akan melakukan yang terbaik. Sebelum menerima projek bersama, mereka bagaimanapun terlibat sama dalam portal wap Skodeng Artis.

Jana pendapatan


ALMY berpegang dengan pesanan keluarga untuk tidak terlalu menonjolkan diri kepada keluarga Fizz.


"Menyertai portal ini membolehkan lebih ramai peminat mengenali kami sebagai artis dengan hanya menggunakan telefon. Mereka akan mengetahui jadual seni kami tetapi bukannya benda peribadi.

"Portal ini bukannya untuk mengetahui gosip atau benda peribadi. Jadi saya tidak takut akan dieksplotasi. Itu semua sebahagian daripada publisiti. Kalau takut sangat, jangan jadi artis," ujar Fizz sambil disokong Almy.

Selain mendapat pendapatan daripada portal itu, Fizz juga memiliki sebuah restoran makanan laut di kampungnya. Terletak di Ketari, Bentong, restoran itu diberi nama Nur Kasih sudah beroperasi selama dua bulan.

"Pembukaan restoran itu sebenarnya idea daripada keluarga saya. Kami mempunyai sebidang tanah terbiar yang merupakan tapak strategik berdekatan dengan lebuh raya Kuala Lumpur - Kelantan. Jadi kami mengambil keputusan untuk membuka restoran. Setakat ini perniagaan amat memberangsangkan," kata Fizz yang gemar memasak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: