![]() |
| Filet ikan goreng yang menjadi kegemaran ramai. |
KEBIASAANNYA pada bulan puasa kita akan dihidangkan dengan masakan-masakan kampung serta kuih-muih tradisional yang sukar diperoleh.
Namun apa kata, tahun ini kita berubah angin dengan cara yang lebih moden iaitu berbuka puasa dengan hidangan ala barat seperti sup lobak merah, kambing panggang dan juga ayam barbeku bersama nasi beriani bersama ais kisar.
Mungkin pertama kali mendengar ia adalah kelainan tetapi itulah realitinya yang ditawarkan di Harrods Kafe yang terletak di Tingkat 1, KLCC.
Dengan suasana kafe yang damai dan eksklusif pastinya membuat pengunjung tenang ketika berbuka di kafe eksklusif itu.
Dengan tawaran harga RM90 seorang, pengunjung boleh mendapatkan tiga hidangan yang unik dan istimewa.
Bagi yang berminat dengan hidangan barat seperti kambing panggang yang dihidang bersama nasi tomato, ikan salmon bersama pasta dan sup cendawan, ini tempat yang paling sesuai untuk dituju untuk berbuka puasa.
Menurut Penolong Pengurus Pemasaran dan pembangunan Perniagaannya, Rosnah Abdullah, promosi itu dilakukan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tahun lalu.
''Untuk kali ini kita adakan kelainan, di mana setiap hari menu yang ditawarkan adalah berbeza-beza,'' ujarnya ketika ditemui pada majlis promosi hidangan berbuka puasa bersama media baru-baru ini.
Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang merasai teh tarik Harrods istimewa.
''Menggunakan daun teh istimewa yang dibawa jauh dari Harrods pastinya ia menjanjikan kelainan pada minuman ini,'' ujarnya lagi.
Lebih teruja, Rosnah memberitahu, biarpun berkonsepkan moden namun ciri-ciri kemelayuan masih terdapat di kafe tersebut.
''Kami juga turut menawarkan kuih-kuih tradisional untuk pengunjung antaranya seperti tat nenas.
''Memandangkan keadaan yang amat terhad, pengunjung bolehlah membuat tempahan terlebih dahulu,'' ujarnya tenang.
Oleh itu, eratkan semangat Ramadan anda dan keluarga di Kafe eksklusif di Harrods KLCC dengan membawa kaum keluarga berbuka puasa di kafe ternama itu.
Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi talian 03-21666000 untuk membuat tempahan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: