Tuesday, August 17, 2010

Bila orang tua bercinta

TUJUAN saya menulis di ruangan ini bukan nak buka pekung di dada, tetapi ingin mendinginkan dada ini yang sudah lama mendidih macam gunung berapi. Jadi daripada merosakkan jiwa lebih baik saya hamburkan keluar, paling tidak tenang sedikit hati yang bergelora.

''Saya berkahwin lebih 25 tahun, anak-anak semua sudah besar, yang sulung sudah setahun bekerja dan kalau diizinkan Allah kami bakal menerima menantu tahun depan. Tetapi kelakuan suami saya amat memalukan, umur saja tua, rambut putih, tetapi berlagak macam orang muda. Demikian cerita Nilawati dalam e-melnya.

''Suami saya bukanlah berpangkat besar, tetapi dia jadi ketua di jabatannya. Di pejabat, baik kakitangan biasa mahupun pegawai atasan semua panggil dia tuan haji, tetapi kelakuannya tidak seperti yang digambarkan, semakin tua semakin miang.

''Sebelum ini pun pernah dia buat perangai, tapi hilang selepas itu, namun sejak usia masuk peringkat emas perubahan kelakuannya nampak sangat jadi tak senonoh terutama sejak dia pandai terima dan hantar pesanan ringkas (SMS).

''Lama kelamaan dia jadi syok sendiri, ketawa sendiri dan senyum sendiri. Jadi kita fikir tentulah cerita-cerita kelakar dalam SMS tu, kita tak kisahlah.

''Tetapi pepatah Melayu ada mengatakan ''sepandai-pandai tupai melompak, satu hari jatuh juga ke tanah'. Entah macam mana satu hari suami saya tertinggal telefon bimbitnya di rumah. Kebetulan anak sulung saya, Along ada dia pun buka dan baca.

''Dia terkejut bila membacanya, mula-mula baca satu, kemudian dia baca semua yang tersimpan dalam peti simpanan.

''Beberapa hari dia simpan rahsia tak bagi tahu saya, dia tak mahu lukakan hati saya. Dan sejak itu kelakuannya berubah. Dia jadi pendiam, hinggakan nak bercakap dengan teman lelakinya pun dia jadi hilang mood.

Rahsia

''Satu hari Along bercerita, katanya mungkin ayah ada teman wanita. Terkedu saya. Tapi Along suruh saya bersabar, perhatikan kelakuan ayah katanya. Memang kelakuan orang tua bercinta lain sungguh. Jadi tak tentu arah. Hinggakan dia berhenti solat nak jawab SMS. Lepas berjawab-jawab baru dia nak solat semula.

''Satu hari saya tanya suami saya, dia nafikan, dia mengamuk bila dapat tahu saya pandai buka SMS.

''Katanya wanita tersebut bekerja di pejabatnya. Mereka berbincang pasal kerja. Sebenarnya wanita itu bukan kawan sepejabat, tapi kenalan yang berpakat nak buat bisnes, tetapi lama-kelamaan mereka pakat-pakat main cinta. Sedihnya wanita tersebut isteri orang, kerana cinta mereka lupa siapa diri mereka sebenar.

''Bila rahsia sudah terbuka, saya pun jalankan siasatan. Bila dia balik saya minta jawapan dan kepastian dari suami saya, apa lagi tentulah dia berang, mengamuk. Tapi saya tak peduli, sebab tujuan saya nak selamatkan rumahtangga. Tapi lain pula dengan suami saya, dia tuduh saya sengaja nak memalukan dia di pejabat.

''Bila rahsia terbongkar, aman sebulan dia tak hantar SMS lagi. Tapi masuk bulan kedua dia buat hal semula, kali ini lebih teruk lagi, dia hantar SMS tak kira siang mahupun tengah malam. Dia sengaja nak sakitkan hati saya bila dengar bunyi SMS masuk.

''Tambah teruk lagi, kali ini dia bukan setakat hantar SMS, malah bercakap dengan wanita tersebut, siap dengan senyum dan lentuknya. Dia langsung tak ada perasaan malu bila bercakap depan anak-anak yang sudah dewasa. Bila bercakap dia seolah-olah ada dalam pejabatnya sendiri. Macam tak ada orang langsung.

''Kerana dah tak tahan selalu bertengkar dan bergaduh, saya suruh dia kahwin lagi, saya sanggup dimadukan. Tapi dia menolak, katanya berkahwin dua bukan amalan adik beradiknya, jadi sibuk bercinta nak buat apa?

''Akhirnya barulah saya faham dia nak kahwin lagi, tapi bukan berpoligami. Dia cari jalan nak ceraikan saya, dan keluar dari rumah ini. Tapi anak-anak suruh saya bersabar. Kata mereka ayah tengah gila bercinta jadi saya kena sabar.

''Along lagi sedih, sebab dia merancang nak kahwin tahun depan, sekarang ayah pula nak ceraikan saya. Inilah yang menyusahkan fikiran Along.

''Sejak akhir-akhir ini bab pukul memukul dah jadi lumrah dalam hidup saya. Pantang saya minta duit lebih untuk makan minum anak-anak dia mengamuk.

''Peristiwa terbaru dia halau saya keluar rumah semata-mata kerana saya tegur dia pasal membaca dan menghantar SMS ketika sedang makan. Katanya kalau tak suka dengar bunyi SMS, pintu terbuka luas untuk saya keluar. Dia pukul saya sampai terkencing dalam kain dan heret saya keluar rumah.

''Bila anak-anak masuk campur mereka pun dihalau keluar. Riuh rendah rumah dengan tangisan dan jerit pekik. Hilang rasa malu pada jiran. Tapi kami tetap tak keluar rumah. Saya kasihan anak yang tak berdosa pun jadi mangsa. Saya izinkan dia kahwin, tapi jangan seksa saya begini.

''Saya sedar dia jadi sombong kerana dah berpangkat dan berduit, perempuan itu tak mahu berpoligami, dan syaratnya mesti kahwin sebelum dia bersara. Sebabnya tentu anda faham kan? Namun saya tetap tidak akan keluar dari rumah walaupun diceraikan.'' Demikian cerita Nilawati panjang lebar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: