Monday, August 23, 2010

Bibir Mega Impact


HIMPUNAN gincu bibir Mega Impact Avon terbaru di pasaran.


KEINGINAN untuk memiliki bibir menawan sentiasa menjadi idaman kaum wanita. Bibir merah dan sentiasa lembap sebenarnya boleh menjadikan wajah seseorang itu kelihatan segar bermaya.

Walaupun memiliki paras rupa yang cantik, keadaan bibir yang kering tidak mampu melengkapkan impak imej yang menawan. Jadi, cara yang sering dilakukan oleh sebilangan wanita ialah hanya memakai pelembap bibir berwarna atau gincu.

Bagaimanapun, perlu ingat bahawa dengan mengaplikasikan kedua-dua kosmetik itu belum cukup untuk seseorang itu bebas daripada masalah bibir yang tidak sihat.

Menurut jurusolek profesional, Zulfazli Suhadi, kepentingan peranan bibir sering dilupakan oleh kaum wanita. Sebaliknya, mereka lebih ghairah menumpukan perhatian kepada kecantikan mata, bulu mata, pipi dan kulit wajah yang gebu.

Padahal, tahap penjagaan bibir perlu didahulukan juga supaya teksturnya kekal sihat. Biasanya, masalah bibir kering atau pecah terjadi apabila anda tidak memastikan gincu yang dipakai itu dibersihkan dengan sebaiknya.

"Cara senang untuk jaga bibir kekal cantik adalah anda perlu berdisiplin setiap kali ingin memakai gincu. Biasanya apabila warna gincu mula pudar, anda akan terus memekatkan kembali warnanya.


NORA DANISH mengoles gincu bibir koleksi Brilliant Berry.


"Tetapi cara yang betul ialah sapukan bibir dengan krim atau minyak zaitun barulah anda pakai gincu yang lain," katanya ketika pelancaran gincu Avon Ultra Color Rich Mega Impact baru-baru ini.

Pelancaran yang diserikan dengan barisan selebriti sebagai model cukup menampakkan impak gincu tersebut amat menyerlahkan gaya si pemakai.

Pembuatannya menggunakan formula inovatif dengan adunan kilauan mutiara pelbagai warna sekali gus menyerlahkan padanan warna yang sekata.

"Penyalahgunaan warna gincu akan nampak anda lebih berusia daripada usia sebenar. Itu yang perlu ingat, jangan disapukan sesuka hati sahaja di bibir," jelasnya lagi.

Keunikan yang terserlah pada gincu Avon itu ialah permukaan bersegi. Tujuan utama ia direka dengan bentuk sedemikian ialah bagi membantu ramuan kelembapan sentiasa di bibir.

Selain itu, ia memastikan pemakaiannya sentiasa kemas dan tiada lagi masalah rekahan di bibir. Antara warna gincu koleksi Avon Mega Impact ialah Charged Cherry, Pink Pop, Powerful Plum, Divine Wine, Brilliant Berry, Fuchsia Fun, Really Rosy dan Rockin Red.


GAYA anggun Nurul Shuhada terserlah dengan calitan lipstik Pink Pop.


Tambah Zulfazli, disebabkan warnanya sudah cukup memukau, pastikan sentuhan solekan yang lain sekadar ringan sahaja.

Bagi mengelakkan kombinasi warna yang keterlaluan, gandingkannya bersama pembayang mata berwarna cair dan maskara hitam agar anda kelihatan lebih sofistikated dan glamor.

"Berikan satu tumpuan sahaja dalam solekan anda. Kalau rasa nak bibir menyerlah, bahagian lain perlu kurangkan solekan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: