Monday, August 23, 2010

Kerna rindu...

pix_gal0
TAMPAK manis mengenakan persalinan kurung moden rona kelabu dilengkapi selendang yang menyerlahkan lagi keanggunan, bekas pengacara Roda Impian, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, cukup rancak bercerita sambil menikmati juadah berbuka puasa di Taman Sari Brasserie, Hotel Istana, baru-baru ini.

Selain berkongsi pengalaman mengenai penggambaran telefilem terbarunya, Ahmad Durrah, Eja nampak teruja sekali untuk berbual mengenai permata hatinya, Nur Eishal. Dalam tempoh yang agak lama kerana menjalani penggambaran itu, hampir setiap malam air mata pelakon berusia 38 tahun ini menitis, menahan kerinduan terhadap si kecil.Rupa-rupanya budak kecil ini cepat membesar. Baru dua minggu tak jumpa, banyaknya perubahan berlaku pada dia (Eishal). Terasa cepat betul dia membesar, lepas itu sudah tunjuk perangai baru pula, katanya sambil tersenyum bangga.Genap berusia setahun pada 3 September ini, akuinya keletah puteri sulung hasil perkongsian hidup selama 10 tahun dengan Mohd Silahuddin Jamaluddin, 40-an, umpama cermin kepada dirinya. Malah hari demi hari melihat Nur Eishal membesar sudah cukup mengujakan naluri keibuan Eja.

Selepas lebih setahun bercuti dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap urusan rumah tangga, saya perlu kembali bekerja namun pertama kali berjauhan dengan Nur Eishal dalam tempoh yang lama membuatkan perasaan saya jadi tidak keruan.

Syukur rasa bersalah yang sesekali bersarang tidak mengganggu tumpuan di lokasi sebaliknya dari situ saya mulai menghargai setiap saat yang dihabiskan bersamanya, malah perpisahan sementara membuatkan kami lebih akrab, katanya yang mula bercuti daripada lakonan dua bulan sebelum kehamilan.

Bercerita mengenai Ahmad Durrah, Eja berasakan telefilem itu memerlukan dia beraksi lasak. Lutut lebam, kaki berbirat dan pada lengannya, jelas kelihatan bekas luka yang hampir sembuh. Semua itu gara-gara babak Eja hampir menjadi mangsa perkosa dalam telefilem yang bakal disiarkan seminggu selepas Aidilfitri di TV3.
Baginya, Ahmad Durrah garapan Raja Ahmad Alauddin cukup mencabar mental dan fizikalnya apatah lagi sepanjang dua minggu penggambaran di Pulau Pinang, kebanyakan adegan berlangsung di tepi pantai atau di tengah lautan.

Tidak hairan, kulit putih mulus aktres tinggi lampai itu nampak terbakar, namun dia puas mampu memenuhi tuntutan watak ibu tunggal yang terpaksa menggadai nyawa membelah ombak sebagai nelayan selain nyaris menjadi mangsa kerakusan manusia.

Ada kelainan dalam drama ini. Kisah tragik wanita yang lari daripada suami durjana kerana cuba melacurkannya. Dia terpaksa menjadi nelayan tanpa sebarang pengalaman demi kelangsungan hidup. Malah stigma masyarakat terhadap janda itulah yang membuatkan watak Islah sentiasa dibanjiri air mata.

Panahan mentari tengah laut tidak seteruk babak Islah hampir diperkosa. Mungkin disebabkan saya meronta-ronta dan mencakar watak hitam lakonan Qazem Nor yang cuba mengambil kesempatan terhadap Islah, tubuh saya turut lebam di sana-sini.

Cuma ketika babak itu, saya menjiwai watak berkenaan sepenuhnya hingga teruk juga Qazem saya kerjakan. Malah hanya selepas pengarah menjerit cut, baru saya berhenti memukul dan barulah terasa perit seluruh badan, katanya menunjukkan lebam besar di lutut kanannya sambil tertawa kecil.

Selain Ahmad Durrah, lakonan aktres yang mula menempa nama menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia sekitar 1998 itu juga boleh diikuti di TV3, slot seram Durja Ningsun serta Ya Puan dan Ramadan siaran RTM selain gandingan bersama Hairie Othman berjudul Janin.

Walaupun turut muncul di layar perak, akuinya penonton lebih mengingati watak yang dibawakan di dalam drama berbanding filem, namun dia tidak pernah ralat sebaliknya menganggap belum benar-benar mendapat watak yang mampu menyerlahkan karisma Eja.

Saya seorang yang pemilih sama ada untuk filem mahu pun drama. Saya mahu penonton terkesan dengan perwatakan yang saya bawakan walau hanya sebagai ibu. Begitupun, selain kepentingan pemilihan watak, soal bayaran dan masa ada kalanya membuatkan saya terpaksa menolak beraksi di layar perak.

Bukan saya terlalu berkira dan jangan anggap saya meletakkan harga tinggi. Bagi saya biarlah berbaloi dengan apa yang dicurahkan. Setakat ini saya tidak punya masalah berhubung faktor bayaran cuma mungkin ada kalanya masa dan pemilihan watak membataskan peluang untuk merancakkan arena perfileman, luahnya lagi.

Bagi aktres yang sudah mempertaruhkan bakat dalam arena lakonan sejak 13 tahun lalu, biarlah kemunculan di layar perak kurang, asalkan impaknya memberi kesan kepada penonton.

Sementara itu, dalam kemeriahan Ramadan dan menjelang Syawal, katanya tahun ini pastinya lebih bermakna kerana si kecil sudah boleh menggayakan baju kurung. Tambahan pula sepanjang Aidilfitri lalu, Eja masih dalam tempoh berpantang dan hanya melihat tetamu menjamah ketupat rendang.

Ceritanya lagi, sudah menjadi tradisi mereka suami isteri akan berhari raya dengan keluarga Eja di Puchong dan menziarah kubur arwah bapanya sebelum bertolak ke kampung mentuanya di Ipoh, Perak pada petang Syawal pertama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: