Monday, August 23, 2010

Ayam Brand bantu rumah kebajikan


DARI kiri belakang: Koordinator Lovely Nursing Centre; Myra, Koordinator Persatuan Rumah K.I.D.S; George, Our FamilyHome, Kok Heng, Koordinator Pusat Jagaan Orang-orang Kurang Upaya dan Terbiar Lovely; Gopi, Mu'tamir, Seng Hee, Tunku Aaran Mohamed dan Tunku Harris Mohamed.


KEMPEN Masyarakat Penyayang Ayam Brand dalam memberikan sumbangan berbentuk produk makanan dalam tin untuk golongan anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga tua sudah masuk tahun ketiga.

Tahun ini, Ayam Brand membuktikan komitmennya dengan membekalkan produk berkhasiat tanpa bahan pengawet dan monosodium glutame (MSG) untuk tempoh dua bulan kepada 35 rumah kebajikan di sembilan wilayah di pantai barat dan pantai timur.

Pengerusi Ayam Brand, Tunku Datuk Mu’tamir Mohamed berkata, bantuan di pantai timur dan barat merangkumi lebih 1,800 penghuni, manakala enam buah rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang pula menerima sumbangan menjelang Ramadan.

“Sejak kempen ini dijalankan pada tahun 2008, Ayam Brand telah membantu hampir 5,000 orang daripada 75 rumah amal dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan dengan menyediakan produk-produk yang mudah disediakan.

“Ia juga merupakan peluang kepada kakitangan Ayam Brand di setiap negeri yang sentiasa menanti-nantikan program tahunan ini untuk berbakti kepada masyarakat setempat,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan baru-baru ini.

Antara makanan dalam tin yang disumbangkan ialah sardin, tuna, kacang panggang, santan, kacang hijau, puri tomato dan lain-lain hidangan harian yang mencukupi untuk tempoh dua bulan.

Rumah-rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang yang terbabit pula ialah Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir TTDI, Our Family Home, Lovely Nursing Centre, Rumah K.I.D.S dan Pusat Jagaan Orang-orang Kurang Upaya dan Terbiar Lovely.

Mu’tamir memberitahu, sokongan dan sambutan terhadap program tersebut terutamanya daripada kakitangan Ayam Brand sendiri semakin meningkat dan membentuk budaya khidmat masyarakat yang kuat.

“Kempen ini membolehkan kakitangan kami terbabit secara aktif dalam menyumbang dan menyokong pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan pada masa sama berbakti kepada masyarakat.

Sumbangan berterusan

“Seiring dengan pemulihan ekonomi Malaysia, sumbangan untuk golongan berkenaan juga semakin meningkat. Ayam Brand berbangga kerana dapat meneruskan usaha murni dengan memberi sumbangan berterusan kepada golongan yang memerlukan,” kata Mu’tamir.

Pihaknya juga sentiasa berusaha meningkatkan jumlah penerima bantuan sama ada jumlah rumah kebajikan atau jumlah penghuninya. Tahun ini, Ayam Brand berjaya menambah sebanyak lima buah rumah kebajikan dengan jumlah penghuni kira-kira 200 orang.


DARI kiri: Kok Heng, Mu'tamir dan Pengarah Urusan Ayam Brand, Ting Seng Hee.


Dalam pada itu, bintang realiti Akademi Fantasia 5 (AF5), Dafi dan Mila turut hadir menambah keceriaan dan kegembiraan golongan kanak-kanak dan warga tua.

“Kempen Ayam Brand amat baik untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik dan saya berbangga dapat meluangkan masa untuk membawa sedikit kegembiaraan pada kanak-kanak dan golongan tua di sini,” kata Dafi.

Mila pula berkata, dia berbangga dapat menghiburkan anak-anak yatim kerana walaupun mereka melalui pelbagai dugaan dan cabaran, mereka masih tabah menghadapinya.

“Kadang-kadang, kita lupa betapa bertuahnya kita dan hanya dengan meluangkan masa dengan mereka yang kurang bernasib baik, kita akan sedar betapa bertuahnya kita,” katanya.

Koordinator rumah Charis’ Home for the Children, Calvin Lee Kok Heng berkata, sumbangan makanan dalam tin oleh Ayam Brand amat dihargai oleh semua rumah kebajikan kerana ia mampu mempelbagaikan hidangan berkhasiat untuk penghuni.

“Produk-produk Ayam Brand amat mudah disediakan dan berkhasiat. Apa yang perlu dilakukan ialah membuka tin dan makanan sedia disajikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: