BEBERAPA penumpang lelaki warga asing selamba memasuki koc wanita.
KUALA LUMPUR: Tak faham bahasa! Itulah ungkapan paling sesuai untuk lelaki yang masih memasuki koc khas wanita walaupun sudah berkali-kali dimaklumkan perkara berkenaan sejak koc itu dilancarkan empat bulan lalu.
Penumpang wanita hanya boleh memandang sinis telatah golongan lelaki yang kebanyakannya warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Afrika yang selamba masuk ke koc khusus untuk wanita itu.Tidak faham bahasa Melayu dan Inggeris menjadi alasan apabila ditanya mengapa mereka masuk ke koc berkenaan sedangkan jelas tertera maklumat pada poster dan pelekat berwarna merah jambu yang diletakkan di bahagian luar dan dalam koc.Malah, maklumat mengenai koc untuk wanita itu turut diterjemahkan ke dalam tiga bahasa lain iaitu Mandarin, Tamil dan Arab berserta imej wanita. Pengumuman mengenai perkara itu juga dibuat setiap kali tren tiba di setiap stesen.
Tinjauan Sentral mendapati kesedaran warga tempatan lebih tinggi berbanding warga asing mengenai larangan ke atas lelaki memasuki koc untuk wanita. Mereka yang memasuki koc wanita juga didapati malas berjalan ke koc lain sebaik tren tengah khusus untuk wanita berhenti di depan mata.
Dari segi penguatkuasaan pula amat lemah apabila anggota polis bantuan hanya bertumpu kepada stesen di KL Sentral, sedangkan di stesen lain khususnya stesen yang agak sunyi seperti Sungai Buloh, tiada seorangpun polis bantuan dilihat mengawasi koc berkenaan.
Hanya seorang pegawai KTM Komuter muncul di stesen Kepong dan mengarahkan beberapa penumpang lelaki keluar dari koc wanita ketika tren berpatah dari Rawang ke KL Sentral.
Usaha KTM Komuter memperkenalkan koc khas untuk wanita memang disenangi semua pihak tetapi tanpa penguatkuasaan dari segi keselamatan, matlamat memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang daripada risiko gangguan seksual dan bersesak dengan penumpang lelaki nampaknya sukar dicapai.
Seorang pelajar kolej, Vibi, 18, mengakui masih berasa tidak selamat walaupun berada dalam koc wanita kerana sehingga kini, penumpang lelaki bebas masuk ke koc berkenaan disebabkan tiada penguatkuasaan.
Saya berasa belum cukup selamat lagi kerana mereka (polis bantuan) hanya menjaga di KL Sentral sedangkan ramai lelaki yang memasuki koc wanita di stesen lain seperti Kepong, Sungai Buloh, Kuang dan sebagainya, katanya.
Ruzita Yahaya, 43, yang sering berulang alik dari Rawang ke tempat kerjanya di Shah Alam meminta KTM menimbangkan untuk meletakkan pegawai mereka atau polis bantuan di setiap stesen sepanjang tren beroperasi bukan saja demi kepentingan penumpang wanita tetapi mengelakkan kejadian jenayah seperti ragut.
Saya pernah melihat seorang gadis diragut tetapi pada masa itu, tiada seorangpun polis bantuan apatah lagi pengawal keselamatan. Orang ramai hanya mampu memandang gadis berkenaan diheret kerana cuba menahan begnya daripada diragut, katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: