Tuesday, August 3, 2010

Bank ‘berkira’ bantu IKS

INSTITUSI kewangan wajar menimbang potensi sesebuah industri kecil dan sederhana (IKS) serta aliran tunainya dalam menyalurkan pinjaman.

RASMI...Ahmad Husni menandatangani plak perasmian Standard Chartered Saadiq cawangan Shah Alam, semalam.
RASMI...Ahmad Husni menandatangani plak perasmian Standard Chartered Saadiq cawangan Shah Alam, semalam.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, kementeriannya menerima banyak aduan daripada IKS yang mempunyai produk inovatif selain memperoleh jaminan tempahan dari luar negeri yang masih sukar memperoleh pinjaman dari bank kerana institusi kewangan masih mahukan kolateral.


Institusi perbankan masih memberi keutamaan terhadap syarikat yang sudah berkembang dan membuat keuntungan dalam memberikan pinjaman.


“Pinjaman aset tidak boleh menjadi satu-satunya kaedah menyediakan modal kepada industri bersaiz kecil dan sederhana. Bagi ekonomi berinovatif untuk maju, industri kewangan mesti menyediakan alternatif peruntukan modal dalam pasaran,” katanya pada pelancaran cawangan baharu Standard Chartered Saadiq Bhd di Seksyen 13, Shah Alam, semalam.


Beliau berkata, perniagaan di Malaysia tidak berjalan seperti biasa dan oleh itu kerajaan melaksanakan usaha meningkatkan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi dan industri kewangan dijangka bertindak selari dengan usaha itu.


“Bank perlu lebih inovatif dan berkeupayaan menyediakan akses modal yang lebih baik,” katanya.


Menurutnya, untuk ekonomi makmur sepenuhnya, industri kewangan mesti menyediakan alternatif cergas dalam peruntukan modal kepada pasaran.


“Kerajaan mahu melihat bank membantu bukan saja dari segi modal, malah pengetahuan teknikal dan pengurusan kepada perusahaan kecil dan sederhana.


“Kerajaan setakat ini bertanggungjawab melaksanakan peranan ini, sektor swasta boleh berkhidmat secara lebih berkesan berbanding sektor awam,” katanya.


Pada masa sama, Ahmad Husni berkata, kerajaan akan meningkatkan modal teroka, satu lagi sumber kewangan alternatif bagi syarikat baru memperoleh modal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: