Tuesday, August 3, 2010

Pemanah gigit jari

DUA pemanah kebangsaan, Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz dan Izzuddin Abdul Rahim terpaksa berputih mata apabila terlepas sirkit ketiga Piala Dunia di Odgen, Utah, Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini selepas tidak mendapat kelulusan visa dari negara itu.

Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz
Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz
Jurulatih kebangsaan Lee-Jae-hyung nyata terkilan dengan perkembangan terbaru itu apabila dimaklumkan pihak kedutaan AS pagi semalam setelah menunggu selama satu minggu mengenai status permohonan itu.


“Saya memang kecewa kerana kejohanan ini sepatutnya menjadi salah satu medan untuk kedua-dua pemanah itu membuktikan kemampuan diri beraksi pentas antarabangsa.


“Malah ia juga mengganggu saya yang kini sedang menilai tiga pemanah lelaki terbaik bagi menggalas cabaran negara pada dua kejohanan terbesar tahun ini iaitu Sukan Komanwel dan Asia,” katanya.


Beliau berkata hasrat untuk menyertai acara recurve berpasukan lelaki yang memerlukan tiga pemanah turut tidak kesampaian kerana Malaysia hanya akan diwakili oleh dua pemanah iaitu Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra.


Dengan ketiadaan Khalmizan dan Izzuddin, Malaysia hanya akan menyertai acara recurve individu manakala empat pemanah wanita iaitu S Anbarasi, Norazira Taib, Shahira Abdul Halim dan Ng Sui Kim yang mendapat kelulusan visa sejak seminggu lepas akan menyertai acara recurve individu dan berpasukan.


Jae-hyung bagaimanapun berkata Khalmizan dan Izzuddin mungkin akan mendapat peluang kedua pada sirkit keempat Piala Dunia di Shanghai, China dari 31 Ogos ini.


“Saya telah memutuskan untuk menyerahkan nama pemanah yang akan ke Sukan Komanwel di India yang akan berlangsung pada Oktober ini selepas kejohanan di China itu,” tambahnya.


Bekas pemanah kebangsaan, Muhammad Marbawi Sulaiman turut terlepas aksi pada kejohanan yang sama pada tahun lepas selepas permohonan visa ditolak.


Sementara itu mengenai sasaran pingat di AS, Jae-hyung berkata mereka akan memberikan yang terbaik kerana ia bukanlah perkara yang senang pada kejohanan yang membabitkan penyertaan 36 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, China dan sebagainya.


Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) sebelum ini berharap barisan pemanah kebangsaan mampu memberikan sebarang kilauan pingat kerana pada dua sirkit awal di Croatia dan Turki mereka gagal melakukannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: