Monday, August 23, 2010

Gulai kikil Sari Ratu


IKAN jenahak masak merah.


SUDAH dua minggu Ramadan berlalu. Namun, berbuka di luar masih mendapat sambutan. Restoran Sari Ratu di pusat beli-belah Subang Parade, Selangor misalnya menyediakan menu istimewa dari Indonesia dan Malaysia.

Keistimewaan masakan yang dihidangkan di Sari Ratu terletak pada rempah ratusnya. "Kesemua rempah ratus yang digunakan adalah dari Indonesia. Kami juga membawa chef khas dari Indonesia untuk menyediakan hidangan yang beraneka jenis," kata Pengarah Urusan Sari Ratu, Junaidi Jaba atau lebih mesra dengan panggilan Pak Midi.

"Menu istimewa yang perlu dicuba pelanggan adalah gulai kikil. Masakan ini menggunakan urat-urat lembu dari New Zealand yang direbus selama lapan jam.

"Apabila urat tersebut benar-benar lembut, barulah ia dimasak gulai," katanya mengenai gulai kikil yang mempunyai rasa lemak, manis dan sedikit pedas itu.

Selain itu, hidangan istimewa lain yang perlu dicuba adalah minuman es teler iaitu air bandung yang dicampur dengan isi buah kelapa, mangga, nangka, avokado, buah kedondong dan sebagainya.


Pak Midi menunjukkan kalok atau pengat campuran.


Jangan lepaskan peluang menikmati kerepek kentang keri yang mempunyai rasa rangup dan pedas.

"Bagi hidangan pencuci mulut pula, cubalah menu kolak. Ia adalah sejenis pengat campuran," kata Pak Midi yang telah menetap di Malaysia sejak 31 tahun lalu dan kini mempunyai lima buah restoran Sari Ratu.

Antara menu lain yang terdapat di Sari Ratu ialah ikan jenahak masak merah, rendang hati dan limpa, ayam pop dan ikan masak asam pedas. Selain itu terdapat juga dendeng balado, sambal paru, ayam kampung istimewa, sup ekor, telur balado cili merah dan telur itik gulai putih.

Sari Ratu juga menyediakan sate, bakso, gado-gado, bakwan, variasi sambal seperti sambal hijau, merah, belacan dan sebagainya.

Menurut Pak Midi, kebanyakan menu untuk bufet Ramadan di Sari Ratu akan berubah setiap hari mengikut permintaan pelanggan.

"Restoran ini berpotensi menjadi persinggahan untuk menjamu selera, selain membeli-belah di Subang Parade," katanya.




Turut disediakan di kuih-muih Melayu seperti cucur udang, tauhu sumbat, cendol dan ais krim. Pelanggan juga berpeluang menikmati pelbagai jenis minuman seperti tembikai laici, soya, oren, teh O limau, tebu dan teh tarik.

Selain Subang Parade, Restoran Sari Ratu di Bukit Bintang juga menyediakan hidangan bufet Ramadan dengan menu yang sama.

Harga bufet Ramadan di Restoran Sari Ratu untuk seorang dewasa adalah RM59, manakala bagi kanak-kanak pula RM29.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: