
MOSCOW – Jumlah kematian selepas sebuah pesawat Rusia terhempas dan terbakar semasa mendarat di timur Siberia meningkat kepada 12 orang setelah seorang penumpang mati di hospital, kata pihak berkuasa semalam.
Pesawat An-24 yang berlepas dari Krasnoyarsk terhempas kelmarin di luar landasan terbang semasa cuba mendarat di Lapangan Terbang Igarka.
Menurut Kementerian Kecemasan Rusia, selepas terhempas, pesawat itu meletup menyebabkan 11 daripada 15 orang yang menaikinya mati di tempat kejadian.
Agensi berita Interfax kemudian melaporkan, seorang jurucakap pihak berkuasa tempatan menyatakan seorang lagi penumpang meninggal dunia di sebuah hospital setelah mengalami kecederaan serius.
Sebanyak tiga orang ditarik keluar hidup-hidup dari bangkai pesawat.
Menurut jurucakap itu, ketiga-tiga orang itu masih dirawat di hospital. Sebuah agensi pengangkutan udara persekutuan menyatakan, ketiga-tiga mereka itu mengalami luka dan melecur. Pihak pejabat pendakwa raya tempatan menyatakan satu siasatan telah dibuka bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran keselamatan ekoran kematian tersebut.
Menurut beberapa penyiasat, kabus tebal mungkin menjadi punca nahas itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: