Wednesday, August 4, 2010

Dua pelajar ditawar berlakon iklan


GAMBAR menunjukkan Jojo (kiri) dan Sinta.


JAKARTA - Selepas berjaya menggegarkan Indonesia menerusi laman sosial YouTube, dua pelajar sebuah universiti di Bandung yang menarik jutaan peminat dengan menggerakkan bibir mengikut suara penyanyi lagu dangdut, Lissa Yang menyanyikan lagu Keong Racun di laman YouTube, kini ditawarkan menjadi pelakon iklan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kedua-dua pelajar itu, Jovita Adityasari atau dikenali sebagai Jojo dan rakannya, Shinta Nuriansyah atau popular dengan panggilan Sinta mengesahkan tawaran berkenaan semasa ditemui wartawan di Studio Sparc, Jalan Raya Bogor, Jakarta Timur, di sini semalam.

"Memang ada tawaran berlakon dan ada juga menawarkan sebagai pelakon iklan," kata Jojo yang mengakui mereka belum dapat menyesuaikan diri menjadi selebriti secara tiba-tiba selepas popular di YouTube.

Buat masa ini, jadual harian dua gadis berusia 19 tahun itu semakin padat dan mereka yang masih menuntut di sebuah universiti di Bandung dekat sini telah meminta bantuan pihak pengurusan penyanyi kumpulan muzik ST12, Charly.

Jojo berkata, Charly dipilih kerana pihak pengurusan itu berpengalaman menguruskan jadual aktiviti hiburan.

Kedua-dua pelajar itu yang kini menjadi fenomena di Indonesia menyatakan, ibu bapa mereka yang sibuk dengan kegiatan harian menyebabkan agensi Charly dipilih untuk menguruskan jadual harian aktiviti seni.

Sehingga kini, klip aksi Jojo dan Sinta yang menggerakkan bibir mengikut suara asal penyanyi Keong Racun itu mencipta rekod tersendiri apabila gelagat mereka sudah dilihat hampir 2.3 juta kali sejak dimasukkan di YouTube pada Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: