JOHANNESBURG: Seorang warga British berjaya mencipta rekod dunia terbaru selepas tinggal di sebuah bilik kecil bersama 40 ular berbahaya selama 114 hari.
JONES bermain dengan ular dalam bilik kurungannya. Dia merancang untuk tinggal di situ selama 121 hari.
Jones duduk, tidur dan makan dalam bilik berkenaan sejak Mei lalu dan berjaya melepasi tempoh 113 hari rekod dunia sebelum ini.
Jones bercadang untuk keluar dari bilik itu minggu depan.
Tukang kayu berusia 45 tahun dari Sussex itu berkata: “Pada jam 3 petang hari ini (semalam), cukup 114 hari saya berada dalam bilik ini dan saya berjaya mencatat rekod dunia.”
“Mencatat rekod dunia adalah satu pencapaian terbesar yang saya idamkan sejak sekian lama.”
“Saya hampir mencapainya dan hanya perlu bertenang dan terus hidup.”
“Pengalaman ini mengajar saya banyak perkara mengenai ular dan kini saya lebih menghormati haiwan reptilia ini.”
Cabaran empat bulan dilalui Jones membolehkannya menjadi satu-satunya wakil Eropah yang berjaya memegang rekod dunia apabila tinggal bersama ular berbahaya.
Pemegang rekod terdahulu, Natie Swart dari Afrika Selatan dipatuk tiga kali, dua kali oleh ular kapak dan sekali oleh ular tedung pada 2009.
Swart masih hidup tetapi mengalami kecacatan kekal di kaki akibat patukan ular berkenaan.
Jones berkata: “Setakat ini saya nyaris-nyaris dipatuk ular mamba hitam di pangkuan saya. Saya mengalihkannya perlahan-lahan tanpa bersuara kerana jika saya membuat bising pasti saya dipatuk.”
Jones memang gemarkan ular dan pernah menyimpan haiwan itu ketika kecil.
Kini anak Jones, Toby, 4, bakal mengikuti jejak langkah bapanya apabila meminta untuk memelihara ular, manakala isterinya, Jane, 45, menganggap suaminya tidak siuman.
Sekumpulan pengunjung yang melawat bilik kaca di perkampungan Chameleon di taman pemuliharaan reptilia di Johannesburg, Afrika Selatan, baru-baru ini bertanyakan Jones pelbagai soalan.
Jones berkata: “Pengunjung yang datang kerap bertanya, mengapa saya lakukan ini dan adakah anda sudah gila? “Saya hanya ingin menunjukkan kepada mereka yang ular tidak bahaya dan kita boleh hidup bersama mereka.
“Saya memang sukakan ular dan kini saya lebih mengagumi haiwan ini. Saya juga tidak kisah apabila mendapati ia melingkar di tandas pada tengah malam.”
“Saya hanya menggunakan penyangkut dan mengalihkan mereka secara perlahan-lahan. Namun, kadangkala agak mengejutkan juga jika ada ular tedung di situ.”
“Saya sungguh gembira dapat mencipta rekod dunia terbaru hari ini. Tetapi saya tidak mahu hanya lebih sehari daripada pemegang rekod terdahulu. Saya mahu tinggal di sini untuk 121 hari,” kata Jones.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: