Selain menjadi ikon fesyen, Victoria Beckham rupa-rupanya turut mencetuskan inspirasi kepada selebriti untuk tabah menjalani hidup berumah tangga.
Berkahwin dengan bintang bola keranjang Amerika Syarikat, Tony Parker, Eva berharap Victoria sudi berkongsi pengalaman dengannya demi memastikan rumah tangga mereka kekal bahagia.
Victoria - bekas anggota kumpulan Spice Girls - berkahwin dengan David Beckham pada 1999 dan dikurniakan tiga anak lelaki, Brooklyn, Romeo dan Cruz.
Pada 2007, mereka berpindah ke Los Angeles dan di situlah Eva berkenalan dengan Victoria.
Pada tahun sama juga Eva berkahwin dengan Parker.
Menurut pelakon siri Desperate Housewives itu, Victoria adalah wanita yang budiman yang amat dikaguminya.
"Suami kami adalah ahli sukan dan selalu tiada di rumah untuk memenuhi jadual perlawanan," katanya.
Selain persamaan itu, Eva juga sering mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Victoria bagi menghadapi masa terluang tanpa suami.
Kata Eva, selain isteri yang baik, Victoria juga adalah ibu yang hebat.
"Jika anda berpeluang melihat dia melayan anak-anak, pasti anda tahu dia memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang untuk keluarga."Dia contoh ikutan yang baik dan berharap rumah tangga saya dengan Parker juga bahagia seperti mereka," katanya.
Sementara itu, Eva dan Parker yang baru meraikan ulang tahun perkahwinan kedua, dilaporkan bercadang mengambil dua orang anak angkat.
Kedua-dua mereka juga teruja untuk mengembangkan keluarga dan anak angkat di kalangan kurang bernasib baik adalah satu daripada pelan dirangka.
Sumber berkata, Eva dan Parker merancang mengambil anak angkat yang mempunyai pertalian darah."Perkahwinan mereka semakin membahagiakan tetapi pada masa sama, mereka juga amat mahukan anak.
"Selepas mencuba sekian lama dan gagal, mereka bersedia mengambil pilihan kedua," katanya.
Menurut sumber itu, Eva dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sentiasa mengimpikan hidupnya juga dikelilingi anak yang ramai.
"Kini ada sebuah agensi cuba mengatur dan menguruskan dua kanak-kanak untuk dijadikan anak angkat mereka," katanya.
Walaupun begitu, sumber itu berkata, Eva, 35, dan Parker, 28, akan tetap berusaha untuk memperoleh zuriat sendiri.
"Masalahnya, jadual penggambaran Desperate Housewives mungkin terjejas jika ada antara pelakon utamanya hamil.
"Mengambil kira faktor itu, Eva dan Parker bersependapat menangguhkan sementara kehamilan," katanya.
Menurut sumber itu, penerbit Desperate Housewives melarang Eva hamil sehingga akhir tahun ini.
Larangan itu, kata sumber terbabit, dikenakan hasil pengalaman sukar penerbit itu menguruskan siri berkenaan apabila seorang lagi bintang utama Desperate Housewives, Marcia Cross, hamil pada 2006.
Dalam temu bual dengan majalah Austria baru-baru ini, Eva berkata, penerbit Desperate Housewives menghalangnya hamil sepanjang tahun ini.
"Kehamilan Marcia amat mengejutkan dan menyebabkan masalah besar kepada penulis skrip.
"Walaupun begitu, saya amat berharap satu hari nanti menjadi ibu seperti orang lain," katanya.
Di sebalik harapan itu, Eva mengakui jadual kerjanya amat ketat.
"Saya bekerja tiga hingga empat hari seminggu di Los Angeles sebelum terpaksa terbang ke Texas untuk meluangkan masa dengan suami.
"Maknanya, kami hanya boleh berasmara pada hujung minggu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: