Tuesday, August 24, 2010

Setiap kali raya, gelut dengan doh

TINGGAL di rumah apabila suami bertugas di pejabat atau terpaksa ke luar daerah manakala anak pula semakin membesar mendorong Mastura Yusop, 51, melakukan sesuatu bagi menghilangkan rasa bosannya.

KERJASAMA...meninjau pekerja membuat biskut.
KERJASAMA...meninjau pekerja membuat biskut.

BERBALOI...Mastura bangga biskutnya dikenali di luar negara. PASTIKAN...Mastura (kiri) turut dibantu anaknya, Nurul Ain. TURUN PADANG...membantu pekerja menyiapkan biskut ditempah.


BERBALOI...Mastura bangga biskutnya dikenali di luar negara.
Antara minat yang disulam di hati ketika itu adalah menghasil­kan biskut atau kuih-muih yang mungkin dapat dijual kepada rakan taulan.


Minat mendalam itu terus dipupuk wanita berkenaan dan hampir 20 tahun menghasilkan biskut dan kuih-muih terutama untuk dijual pada musim perayaan, kini ibu kepada dua anak ini mampu berbangga kerana usahanya amat berbaloi.


Mungkin suasana membesar di sekitar Jalan Raja Alang, ­Kampung Baru dan sering melihat pelbagai bentuk perniagaan dijalankan di sekitar kediamannya turut membentuk sikap berniaga dalam diri keluarga dan adik-beradiknya yang lain.


“Saya berbangga dapat menghasilkan lebih jenis biskut pada setiap kali menjelang perayaan dan kebanyakan tempahan dibuat dua bulan sebelum puasa. Ia kemudian diagih-agihkan kepada pengedar menjelang Ramadan atau Syawal.


“Jika sebelumnya saya meng­usahakan secara kecil-kecilan namun hampir 10 tahun lalu saya melakukannya secara komersial. “Sekurang-kurangnya saya berbangga kerana biskut saya berjaya menembusi Sabah, Sarawak dan Brunei, hanya daripada cerita pelanggan kepada kenalan mereka.


“Lebih membanggakan, wang hasil jualan itu juga membolehkan saya membeli aset di samping dapat menghantar anak belajar hingga ke menara gading serta memberi kehidupan lebih baik buat anak-anak,” kata anak ketiga daripada enam beradik ini.


Suaminya, Haron Hamim adalah pengurus besar di sebuah syarikat berkaitan telekomunikasi, namun dia akui gemar berdikari.


Menamakan biskut keluarannya Mass Delight, menurutnya, setiap kali menjelang perayaan dia akan sentiasa sibuk dengan doh atau tepung yang sedia diuli untuk dijadikan biskut.


Memiliki enam pekerja yang sentiasa membantunya, kemahiran membuat biskut diwarisi daripada neneknya, Peah Madar yang sememangnya pakar dalam masakan. Bukan hanya terbukti kepakarannya dalam membuat kuih-muih, tetapi menghasilkan resipi dalam pelbagai masakan untuk katering bagi majlis tertentu.


Sering membantu ibu dan melihat neneknya di dapur membuatkan wanita ini begitu bersungguh-sungguh jika melakukan kerja memasak.Melihat kepada kepan­daiannya itu dan seiring dengan minat mendalam, dia lalu memikirkan harus melakukan sesuatu dengan mula membuat biskut secara kecil-kecilan untuk keluarga dan kenalan sehingga akhirnya mendapat galakan insan tersayang bagi menjana impian bergelar usahawan.


Ketika berkunjung ke rumah­nya yang terletak di Taman Bukit Indah, Ampang, Selangor, bahagian anjungnya dipenuhi puluhan kotak yang sedia untuk dihantar ke destinasi tertentu di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pelanggan. “Setiap hari, sekurang-kurangnya kami menghasilkan lebih 10 kotak mengikut kepelbagaian biskut. Kebanyakan biskut ini tidak hanya didapati pada musim perayaan bahkan sentiasa ada untuk memenuhi kehendak pelanggan.


“Anak sulung saya (Nurul Ain, 24) sudah menamatkan pengajian di sebuah kolej dalam bidang dekorasi dalaman dan dia juga adalah tenaga pengajar taekwondo. “Kalau dulu, dia tidak menunjukkan minat dalam bidang masakan, tetapi kini dia semakin berjinak-jinak serta banyak membantu saya. Adiknya, Puteri Dania Qistina masih kecil dan belum tahu lagi kecenderungannya.


“Apapun, saya bangga kerana kerja gigih selama ini akhirnya dapat merealisasikan sebuah kedai di Gombak, Selangor tidak lama lagi,” katanya.Sesibuk mana dirinya, wanita ini turut memenuhi jemputan berceramah mengenai cara pembuatan biskut, kuih-muih dan kelas masakan di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.


Secara tidak langsung, katanya, dia turut menjaja produknya untuk dijadikan sandaran kerana yakin industri berkenaan mempunyai masa depan cerah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: