Sunday, September 27, 2009

Zizie, Aishah ceria pulang beraya


Zize (kiri) dan Aishah bersedia untuk menyambung tugas selepas cuti beraya dua minggu.


KERIANGAN dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah dua penyanyi yang dicungkil dari rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh sebaik tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Rasa teruja kerana baru lepas pulang beraya di kampung halaman selama dua minggu. Nur Fazelah@Zizie Mad Tahil, 24, atau Zizie bersama rakan seangkatannya, Siti Aishah Bujang, 18, adalah antara artis dari Sabah dan Sarawak yang mencari rezeki ke Kuala Lumpur. Ini merupakan tahun pertama mereka pulang ke kampung sebagai artis.

Adik bongsu kumpulan The Fabulous Cats, Zizie merasakan semua ‘dendam’ untuk bersama keluarga terbalas setelah tidak pulang lebih tiga bulan lalu. Kesempatan pulang ke Kota Kinabalu dihabiskan sepenuhnya dengan mengadakan aktiviti bersama ahli keluarganya

“Sebenarnya, Zizie sudah lama nantikan pulang ke kampung macam ini. Biasalah, nak beraya sambil bercuti sekaligus sambut Hari Raya Aidilfitri, “ ujar anak bongsu daripada enam beradik ini.

Bercerita tentang aktivitinya sepanjang percutian, Zizie memberitahu, setiap hari dia pergi pasar basah bersama ibu dan sepupunya untuk membeli bahan mentah masakan.

“Disebabkan keluarga Zizie besar, Mummy akan ajak adiknya, Ummi untuk masak bersama-sama dan pastikan senarai menu masakan kegemaran anak-anaknya ada. Bila sudah siap masak tu, penuh satu meja sampai Zizie sendiri tak tahu nak makan yang mana satu,” kata Zizie yang meminati nasi himpit dengan kuah kacang ini.

Mengenai pengalaman lucu ketika menyambut Hari Raya sebelum dia memasuki AF, kata Zizie, ada sekumpulan kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya kira-kira pukul 7 pagi.

Ketika itu, dia ke depan rumah menjemur pakaian setelah ibu bapanya ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kesemua kanak-kanak itu mendesak untuk masuk ke rumah sedangkan dia belum bersedia untuk menerima tetamu. Disebabkan itu, Zizie terpaksa mengaku sebagai pembantu rumah di hadapan mereka.

Bintang baru, Aishah juga tidak terkecuali teruja meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Kepulangannya ke Kuching dua minggu lalu sarat dengan buah tangan untuk ibu bapanya, Bujang Narawi, 62, dan Aini Sebli, 56, serta adik beradik lain.

“Beberapa hari sebelum raya, Aishah pergi membeli-belah barangan untuk mereka. Kebanyakannya adalah pakaian kerana fesyen di Kuala Lumpur banyak yang menarik. Tetapi disebabkan ada banyak jualan murah, Aishah beli jugalah, “ jelasnya.

Gadis comel ini juga memakai baju kurung setiap hari semasa di sana. Ini kerana budaya kaum Melayu di sana yang menjadikan pakaian kebangsaan tersebut sebagai sebahagian daripada kemeriahan Syawal.

“Jangan tak percaya, Aishah dah susun semua baju kurung Aisyah mengikut giliran. Jadi, tidak lah nampak canggung kalau terpakai baju sama yang berulang,” katanya.

Aishah juga sebenarnya takut dengan semua jenis mercun termasuk mercun pop-pop. Sebab itu, Aishah tidak seperti remaja lain yang keluar rumah untuk bermain bunga api pada malam raya sebaliknya membantu ibunya di dapur.

Aishah juga mengambil kesempatan percutiannya untuk mempelajari cara membuat kek lapis Sarawak daripada ibunya yang turut menjual kek itu secara kecil-kecilan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: