Sunday, September 27, 2009

Aidilfitri bagi Tomok, Black & Aweera


Tomok, Black & Aweera


KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa sehingga hari ini. Keseronokan berkumpul bersama dengan ahli keluarga masih lagi dinikmati dan saat itulah yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai.

Bagi mereka yang masih lagi mempunyai ibu bapa, sudah pasti peluang untuk memohon ampun dan maaf di pagi Syawal tidak dilepaskan begitu sahaja. Namun pada mereka yang sudah kehilangan orang yang dikasihi, semua itu tinggal kenangan semata-mata.

Bagi tiga penyanyi lelaki yang sedang meningkat ini, kehadiran Syawal sememangnya dinanti-nantikan setelah penat bekerja sepanjang tahun dan masa inilah masa untuk mereka berkumpul bersama dengan ahli keluarga yang lain.

Juara, One In A Million musim ketiga (OIAM3), Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama Tomok, Hari Raya merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu kerana dapat berkumpul dengan sanak saudara dan rakan-rakan yang lain.

“Tahun ini saya pulang ke kampung di Negeri Sembilan bagi meraikan kehadiran Syawal bersama dengan saudara mara. Sudah tentu pagi Syawal yang lalu saya begitu sibuk melayan saudara mara dan peminat yang hadir.

“Selama ini nama Tomok agak suram dan hanya selepas Tomok memenangi OIAM3 barulah nama Tomok kembali menjadi sebutan ramai.

“Tapi itu bukanlah alasan untuk saya berbangga diri atau membazir. Hari raya saya tetap sederhana dan seperti dulu juga,” katanya penyanyi lagu Rindu Terhenti ini.

Kata Tomok lagi, dia baru sahaja menyudahkan rakaman tiga buah lagu baru dan untuk album solonya nanti dia menggunakan khidmat Aubrey Suwito dan ramai lagi komposer lain.

“Tomok sangat teruja dengan pembikinan album solo tersebut. Tapi dalam masa yang sama Tomok juga mahu nama New Boys kembali popular seperti dahulu.

“Inilah pengorbanan yang akan Tomok lakukan. Tomok akan gembira sekiranya kerjaya solo Tomok dan New Boys dapat berjalan seiring,” kata Tomok yang baru berusia 25 tahun.

Lain pula cerita jejaka yang baru menginjak 22 tahun ini. Setiap tahun dia pulang ke kampung sebelah ayahnya di Kupang, Kedah untuk menyambut hari raya bersama-sama.

“Saya sangat seronok beraya di Kedah. Di sini saya dapat berkumpul dengan saudara mara yang begitu ramai. Sejak dulu lagi memang Black akan beraya di sini dan Black sangat gembira dapat berhari raya sebagai seorang artis kali ini.

“Nak duduk lama pun tak boleh sebab pada malam ini Black sudah ada program yang perlu Black ikuti. Black tetap gembira walaupun tak punyai waktu yang lama di Kedah,” ujar Black yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini.

Black yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Mentor musim ketiga tidak menolak kemungkinan mahu mengunjungi mentornya, Mas Idayu dalam masa yang terdekat ini.

“Saya memang teringin sangat nak pergi mengunjungi rumah Mummy. Perancangan tu memang ada dan saya memang sangat teruja sekarang.

Bermaaf-maafan

“Kalau Mummy masih berada di Johor, saya sanggup memandu ke sana asalkan saya dapat mengunjungi Mummy dan bermaaf-maafan di dalam bulan yang mulia ini,” kata Black yang membahasakan Mas Idayu sebagai Mummy.

Pemenang tempat ketiga OIAM3, Aweera pula meraikan kehadiran Syawal bersama-sama dengan keluarga di Utan Aji, Perlis selama seminggu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu Pancaindera, walaupun sudah dikenali ramai, dia sangat teruja kerana masih lagi mempunyai masa untuk bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan di Perlis.

“Sejak menyertai pertandingan OIAM3, banyak masa sudah saya habiskan di Kuala Lumpur. Kesempatan meraikan Aidilfitri memang saya nantikan kerana pada waktu ini saya dapat makan pelbagai jenis juadah yang jarang saya jumpa.

“Antara menu wajib yang dihidangkan kepada para tetamu termasuklah laksa dan bihun sup Siam. Bagi saya bihun sup Siam memang istimewa yang sering kali disediakan oleh umi saya setiap kali tibanya hari raya.

“Walaupun ini merupakan hari raya pertama saya menjadi seorang artis, saya tetap bersederhana dalam semua segi. Tak guna nak membazir,” kata Aweera yang baru berusia 18 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: