
“Ini semua bukan kerja saya. Saya hanya mengikut apa yang disuruh. Mulanya saya rasa terkejut juga dengan gerak tari dalam video klip ini, tapi bila dah pengarah jelaskan pada saya, mengenai konsep sebenar video klip ini, maka saya terima saja. Walaupun saya rasa agak janggal dengan aksi penari itu, tapi saya terpaksa ikutkan saja, sebab ia dah jadi tugas saya,” kata Hafiz yang ditemui ketika majlis rakaman raya untuk program Nona dan Wanita Hari ini, di Restoran Melayu, Kuala Lumpur.
Tambah Hafiz, walaupun ada sesetengah pihak meletakkan persepsi negatif terhadap video klipnya itu, namun ia masih mempunyai mesej dan jalan cerita yang tersendiri. Bukannya ingin mempertahankan video klipnya itu, tapi dia cuba menjelaskan apa yang tersirat di sebalik visual yang dipaparkan.
“Ramai yang tak faham konsep video klip ini. Lagu Masih jelas mengisahkan seorang suami yang kehilangan isterinya dan untuk mewujudkan perasaan cintanya yang mendalam terhadap isterinya itu, pengarah cuba bayangkan yang roh isterinya itu sentiasa berlegar-legar di rumah mereka. Jadi wanita berbaju merah itu adalah hanya fantasi dan jelmaan roh untuk penonton rasai akan keabraban hubungan mereka. Rimas tu memanglah rimas, tapi saya kena frofesional dalam hal seperti ini,” ujar Hafiz yang ada memberitahu penulis bahawa model dalam video klipnya itu adalah seorang penari dari Akademi Fantasia dan mereka pernah mengenali antara satu sama lain sebelum melakukan penggambaran video klip itu.
Ditanya tentang imejnya yang turut tercalar dek video klipnya itu, Hafiz berkata, dia akan lebih berhati-hati selepas ini.
“Saya percaya pada peminat saya. Kalau mereka betul-betul meminati saya, mereka tak akan fikir negatif tentang saya. Apa yang berlaku akan saya jadikan pengajaran. Lagipun itu hanyalah video klip dan lakonan semata-mata. Percayalah, apa yang berlaku itu bukannya kemahuan saya. Sebagai ‘public figure’ pastinya segala tindak-tanduk saya akan menjadi perhatian. Selepas ini saya akan cuba menjaga kelakuan, dan imej saya dengan sebaik mungkin,” tegas Hafiz berkali-kali.
Berpuasa tanpa keluarga
Buat pertama kalinya, juara AF7 ini menjalani ibadah puasa tanpa keluarga tercinta. Kalau dulu, dialah anak kesayangan dan selalu dimanjakan orang tuanya, namun hari ini dia harus berdikari.
“Dulu juadah puasa dan sahur disediakan ibu Hafiz, nampaknya kali ini Hafiz kena berdikari. Memanglah rasa sedih, tapi Hafiz anggap ini sebagai pengalaman baru yang Hafiz kena tempuhi. walaupun berjauhan dengan keluarga, tapi Hafiz tetap gembira kerana inilah kali pertama Hafiz dapat berbuka puasa dengan peminat, terutamanya anak-anak yatim,” kata Hafiz yang terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarganya di Kuching Sarawak, demi meneruskan kariernya sebagai anak seni.
Bercerita pengalamannya menyambut Ramadan, kata Hafiz, setiap malam dia pastinya akan mengikut bapanya untuk menunaikan solat Tarawih dan selepas menamatkan lapan rakaat biasanya dia akan bergegas ke gerai mak ciknya yang menjual sotong bakar. Di samping membantu mak ciknya, di situlah juga dia dapat bertemu dengan kawan-kawannya. Ujar Hafiz, begitulah rutinnya di bulan puasa malah kenangan itu tidak dapat dilupakan walaupun sudah bergelar artis popular.
“Tahun ini Hafiz dah tak berpeluang untuk buat macam tu lagi. Kalau Tarawih pun, mungkin pergi seorang atau dengan kawan-kawan artis. Sekarang ni, Hafiz masih dalam proses cuba menyesuaikan diri tanpa keluarga. Mujurlah kesibukan jadual seni Hafiz, sedikit sebanyak membantu Hafiz agar tidak terlalu memikirkannya,” katanya.
Bertanyakan aktiviti seninya, kata Hafiz, puasa tidak menghalangnya untuk meneruskan karier seninya seperti biasa. Selain sibuk dengan sesi fotografi raya, dia juga banyak menerima undangan menyanyi di majlis berbuka puasa.
“Minggu lepas, Hafiz baru saja selesai ‘shooting’ untuk program Astro ‘Syoknya Puasa’ dan berpeluang balik kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga. Selain itu, Hafiz juga turut menyertai program Marhaban Astro di negeri Pantai Timur. Memang seronok kerana inilah peluang untuk Hafiz bertemu dengan peminat. Jika berkesempatan, Hafiz akan memenuhi undangan berbuka puasa,” kata Hafiz yang gemarkan bubur pedas dan sayur campuran bersama kulit lembu sebagai juadah berbuka puasa. Jelasnya, makanan itu, cukup popular di Sarawak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: