Monday, September 14, 2009

Suasana kampung Melayu


REPLIKA rumah tradisional Melayu menarik perhatian pengunjung.


SEJAK lama dahulu, keluarga Jasni Abdul Rahman terkenal dengan jualan songket Terengganu. Diperbuat daripada benang yang berkualiti, songket dan kain samping itu dijual pada harga sekitar RM250 dan ke atas. Bagaimanapun, jika songket itu ditenun daripada benang sutera, harganya boleh mencecah sehingga RM8,500.

"Khas untuk para pelanggan di sini, saya bawa hampir 500 songket dan kain samping pelbagai corak dan warna," ujar Jasni yang membuka gerai jualan di kompleks beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur sejak 27 Ogos lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati ramai pelanggan meminati konsep dan corak songket yang dipamerkan untuk jualan di gerainya. Jasni berkata, dia dan pembantunya sentiasa meluangkan masa untuk menerangkan kepentingan dan keunikan setiap rekaan kepada pelanggan.

Menerima kad kredit sebagai transaksi jual beli, para pelanggan berasa lebih yakin dengan kepelbagaian perkhidmatan yang disediakan di ruang legar pusat beli-belah tersebut.

Songket Jasni yang dipasarkan di bawah label K.T. Songket, jarang mempunyai corak yang sama dan biasanya hanya dimiliki oleh dua orang pelanggan sahaja.


SONGKET di gerai Jasni dipasarkan di bawah label K.T. Songket dan jarang mempunyai corak yang sama.


"Inilah jaminan mutu dan kelainan yang saya tawarkan kepada pelanggan," ujarnya.

Selain itu, ruang legar pusat beli-belah Mid Valley Megamall turut dipenuhi dengan kios-kios lain yang menjual variasi produk dan barangan tempatan yang menarik. Ruang legar yang dihiasi dengan dekorasi tersendiri itu turut menempatkan replika sebuah stesen keretapi, rumah-rumah tradisional Melayu dan pasar kampung. Ia sekali gus berjaya menghidupkan suasana hari raya. Replika stesen kereta api itu terletak di pintu masuk bahagian selatan dan dari situ, para pengunjung sudah boleh menyaksikan mood hari raya yang meriah.

Luangkan juga masa untuk membeli kacang putih Ipoh dan makanan di The Warung. Antara yang dijual adalah serunding daging, ayam dan ketupat palas serta ketupat nasi. Dari situ, susur ke ruang legar kompleks yang menampilkan rumah-rumah kampung yang berdiri megah di bawah cahaya lampu dan alunan muzik Melayu.

Kunjungi juga ke kios Top Cookies yang menawarkan lebih daripada sedozen biskut raya. Daripada biskut badam, nanas, coklat dan mentega, ia dibungkus di dalam bekas yang menarik untuk dihidangkan kepada para tetamu atau dijadikan cenderahati untuk sahabat handai atau sanak saudara.

Dengan harga semurah RM15 untuk satu bekas biskut, anda juga boleh membeli dua jenis hamper yang mempunyai bungkusan biskut yang berlainan cita rasa. Hamper paling kecil berharga RM68 manakala hamper besar bernilai RM128.

Di ruang itu juga, para pengunjung boleh memilih tas-tas tangan cantik yang disemat dengan batu permata dan labuci. Butik Sinma tidak ketinggalan membuka sebuah kios kecil yang menyediakan aksesori wanita termasuk anting-anting, gelang dan rantai mutiara.

Akhir sekali, pasar kampung di bahagian utara pintu masuk kompleks menempatkan beberapa jenama seperti Kriteria, Arzu, Silky Girls dan sebagainya. Jika masih belum membuat belian buat diri sendiri atau keluarga, Kriteria menawarkan pelbagai jenis baju kurung. Bazar itu dibuka sehingga 22 September ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: