Monday, September 14, 2009

Sentuhan berbeza Nona untuk lebaran


ZAITON Sameon yang tidak dapat menahan sebak ditenangkan oleh hos Nona, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan.



REAKSI Zaiton sewaktu dikejutkan oleh rakan-rakan artis dalam majlis kejutan anjuran Nona dan TV3 untuknya.


SEJAK bersiaran 24 tahun yang lalu, satu-satunya rancangan wanita terbitan TV3, Nona tidak pernah menghampakan peminat serta pengikut setia rancangan itu.

Masakan tidak, pengisian yang disediakan untuk tatapan penonton sering kali meninggalkan impak yang bukan sedikit.

Tidak hairanlah sehingga kini Nona terus berjaya menarik penonton dan mencatatkan rating secara purata 1.3 juta penonton setiap minggu.

Mungkin ramai yang berpendapat kejayaan Nona terletak pada pengacaranya tetapi jika alasan itu diberikan, ia tidak mencukupi untuk memantapkan kandungan Nona itu sendiri.

Kejayaan sesuatu rancangan itu juga terletak pada kemahiran dan kreativiti seorang penerbit serta krew produksi dalam memberikan kelainan untuk tatapan penonton.

Begitu juga setiap kali menjelangnya Syawal, Nona juga tidak ketinggalan menyajikan santapan yang berbeza daripada rancangan mingguannya.

Tidak memaparkan kehidupan masyarakat yang sudah biasa ditonton sebelum ini, sebaliknya untuk Syawal kali ini Nona akan membawa penonton menyelami perasaan artis-artis yang kurang bernasib baik.

Menariknya, pendekatan kali ini melihat bagaimana krew produksi Nona membuat kejutan untuk mereka bagi menghargai serta menceriakan hari mereka dalam menyambut Aidilfitri.

Dengan konsep Nona Raikan Nur Aidilfitri bersama bintang yang pernah menyinar satu ketika dulu, sememangnya paparan Nona kali ini mampu menarik perhatian penonton.

Bakal bersiaran sebanyak dua episod selama dua minggu berturut-turut bermula 20 September ini, episod pertama akan menyaksikan penyanyi terkenal, Zaiton Sameon diraikan dan dikejutkan dalam satu majlis khas.

Untuk siaran 27 September, seniman dan seniwati, Karim Latif dan Azean Irdawaty juga diraikan tetapi dalam majlis yang berbeza.

Penerbit Nona, Syarida Sharif menjelaskan ilham untuk mengadakan konsep sebegini timbul selepas dia menonton Oprah's Gives Back.

Katanya, ia amat bersesuaian dengan konsep Syawal itu sendiri yang menggalakkan masyarakat untuk memberi serta menggembirakan mereka yang kurang bernasib baik.

Bukan itu sahaja, jelas Syarida atau lebih mesra disapa sebagai Sherry ini juga memberitahu, sudah tiba masanya artis-artis ini dikenang dan dihargai sebaik mungkin selagi hayat mereka dikandung badan.

"Mungkin paparan tentang artis yang telah meninggal dunia serta pengalaman dan wawancara bersama mereka yang terdekat sudah biasa ditonton.

"Disebabkan itu, kami mahu menampilkan pembaharuan untuk paparan Syawal kali ini sekali gus memberikan penghormatan kepada artis yang masih lagi hidup.

"Dalam kita bergembira menyambut Syawal, barang kali mungkin kita terlupa kepada insan yang kurang bernasib baik," ujarnya penuh optimis.

Sherry ditemui sewaktu rakaman episod pertama Nona Raikan Nur Aidilfitri bersama Zaiton di Hotel Concorde, Shah Alam baru-baru ini.

Tentang pemilihan Zaiton pula, Sherry memberitahu idea timbul setelah pelantun Menaruh Harapan itu menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan rakan seperjuangannya yang pernah jatuh bangun bersamanya dulu.

Lantaran itu, Sherry dan pihak penerbitan Nona merancang sebuah majlis untuk Zaiton yang sememangnya cukup mengejutkan penyanyi bersuara lantang itu.

"Kami memberitahu Zaiton bahawa akan ada sekumpulan wartawan yang mahu membuat sesi fotografi sempena Syawal bersamanya.

"Dia cukup gembira tanpa disedari ada kejutan yang menanti untuknya.

"Kami juga gembira kerana mendapat kerjasama baik daripada semua pihak terutama artis-artis yang menjayakan majlis kejutan ini sehingga ia benar-benar menyentuh hati Zaiton," kata Sherry yang juga merupakan anak kepada penyanyi pop yeh yeh, Allahyarham M. Sharif itu lagi.

Ternyata kejutan itu cukup menjadi sehingga Zaiton tergamam dan hilang kata-kata tanpa disedari air matanya gugur ke bumi.

Lebih mengharukan apabila penyanyi Azharina Azhar mengalunkan lagu Menaruh Harapan dengan gayanya yang sendiri.

Emosi Zaiton tidak mampu dibendung lagi saat finalis One In A Million musim ketiga, Esther menyanyikan lagi Kabut Serangkai Mawar bersama-samanya.

Malah, Zaiton juga sempat menghiburkan hadiri dengan persembahannya serta telatah yang sungguh mencuit hati.

Episod istimewa selama satu jam itu bukan memaparkan sekitar majlis kejutan itu, tetapi juga perjalanan kisah hidup Zaiton dari mula dia bergelar penyanyi sehinggalah ke tragedi hitam yang hampir meragut nyawanya.

Bagi Zaiton yang anggun mengenakan baju kurung moden rekaan dan sumbangan Rizman Ruzaini, dia berterima kasih kepada Nona dan TV3 yang merealisasikan impiannya untuk bertemu dengan rakan-rakannya.

"Saya memang terkejut sangat sebab saya diberitahu saya akan mengadakan sesi fotografi tetapi tidak pula menyangka ada majlis kejutan untuk saya.

"Saya benar-benar menghargai apa yang dilakukan oleh Nona ini dan saya harap agar dapat tampil untuk rancangan terbitan TV3 yang lain selepas ini," pintanya penuh harapan.

Dalam majlis yang sama, Zaiton turut menerima sumbangan berupa set penjagaan akupuntur dari Akulife dan barangan Alfio Raldo yang bernilai RM1,000.

Selain itu, penyanyi lagu Rentak Jantung itu turut menerima barangan Avon, baju kurung sumbangan Fair Lady serta duit raya sebanyak RM1,000 daripada TV3.

Episod khas Nona Raikan Nur Aidilfitri bersama Zaiton Sameon akan disiarkan selama sejam bermula pukul 2 petang pada Hari Raya Pertama (20 September) di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: