![]() |
| Berhati-hati di jalan raya antara pesanan yang sering disampaikan oleh Wan K setiap kali menjelang musim perayaan. |
SETELAH sebulan berpuasa menunaikan rukun Islam yang ketiga, kini tibalah masa meraikan bulan yang dianggap sebagai bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam di seantero dunia.
Dan bagi sesetengah daripada kita, kesempatan yang ada pada bulan mulia ini digunakan sepenuhnya untuk sama-sama saling bermaaf-maafan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam.
Justeru, amalan berhari raya di kampung halaman masih lagi menjadi agenda utama kebanyakan warga kota dewasa ini biarpun telah bertahun-tahun di perantauan mencari rezeki.
Begitu juga dengan pengacara popular ntv7, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim yang masih lagi menjadikan tradisi pulang ke kampung setiap kali meraikan lebaran sebagai satu perkara wajib.
Pada hari fotografi ini diadakan, tepat pada masa yang dijanjikan, Wan Kamarudin yang lebih mesra dengan panggilan Wan K itu tampil lengkap berbaju Melayu menandakan kesediaan merakamkan aksinya di depan kamera.
Pada awalnya, sesi fotografi ini dirancang dengan menggandingkan dua selebriti ntv7, Wan K dan Ras Adiba Radzi. Namun, fotografi bersama Ras Adiba terpaksa dibatalkan di saat akhir setelah lama menunggu.
Berhari raya berstatuskan selebriti bukan lagi asing bagi dirinya. Sementelah hidupnya kini kian terisi dan dilambakkan dengan pelbagai tugasan termasuk aktiviti pengacaraan.
Tugas sebagai pengacara, menuntutnya bermain dengan pengurusan waktu yang secara tidak langsung membuatkannya terikat dari segi jadual.
Oleh kerana itu, pengalaman menyambut lebaran berlatarkan suasana di studio bukanlah satu bebanan buat dirinya.
Mahu atau tidak itulah pengorbanan yang harus dilakukannya demi tugas yang menjadi minatnya sedari dulu.
Namun, itu bukan bermakna dia tiada langsung peluang untuk pulang berhari raya di kampung.
"Biasanya saya bertugas di studio pada malam raya ataupun pada hari raya pertama.
"Bagaimanapun saya masih berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman pada hari raya kedua," kata Wan K.
Hanya tahun lalu, dia berkesempatan pulang ke kampung meraikan hari pertama lebaran bersama keluarga dan sanak saudara.
Benar kata orang, kemeriahan berhari raya di kampung paling dirasai jika dibandingkan dengan suasana berhari raya di ibu kota.
Masih diuliti tradisi saling menziarahi dan bermaaf-maafan namun, semangat serta kehangatan suasana berhari raya di kampung ternyata cukup berbeza.
Seperti insan lain, Wan K juga tidak terlepas melahirkan rasa serupa. Ingin pulang dan berkumpul bersama sanak saudaranya berhari raya di kampung.
Biar sehebat mana persiapan dan sambutan berhari raya di kota, namun, semangat kekeluargaan serta detik-detik berkumpul dan bergurau senda bersama sanak saudara pada hari mulia tetap menjadi perkara yang paling dinantikan di hari lebaran.
Seperti tahun lalu, tahun ini dia sekali lagi berpeluang menghabiskan cutinya selama seminggu untuk meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta di Kuala Terengganu, Terengganu.
Terkenang dek suasana berhari raya di perantauan, dia mengakui, jiwanya tidak lepas lari terpalit rasa sayu yang bukan sedikit.
Lebih-lebih lagi tatkala lagu kegemaran, Dari Jauh Ko Pohon Maaf dan Dendang Perantau menerjah masuk ke telinganya.
Namun, kesayuan itu segera dibuang jauh-jauh kerana sedar kerja tidak kurang penting dalam kehidupannya.
"Yang menyeronokkan berhari raya di kampung, ialah saat-saat di mana adik-beradik dan sanak saudara berkumpul beramai-ramai. Tambah seronok melihat gelagat anak-anak saudara yang berebut ketika menerima duit raya.
"Kemeriahan bukan sahaja pada 1 Syawal tetapi telah dirasai pada malam raya itu lagi. Ketika itu ramai-ramai berkampung mengalunkan takbir raya yang mana di bandar amalan takbir dari rumah ke rumah semakin berkurangan," katanya.
Dua pesanan Wan K
Mengambil kesempatan menyampaikan ucapan hari raya kepada seluruh peminat Talian Hayat yang tidak lelah menyokong program berkenaan, dia tidak lupa menyampaikan pesanan kepada para peminatnya.
Kadar kemalangan yang membimbangkan saban tahun sedikit-sebanyak mengundang rasa pilu di hatinya.
Sekadar menyampaikan pesanan, kata Wan K: "Saban tahun apa yang membimbangkan saya ialah pertambahan jumlah kemalangan.
"Jadi, berhati-hatilah ketika pulang berhari raya di kampung dan amalkan sikap bertimbang rasa antara satu sama lain untuk mengelakkan terjadinya insiden yang tidak diingini.
"Kalau boleh, raikan hari raya ini tanpa sebarang insiden berdarah atau kematian akibat kemalangan jalan raya," katanya.
Pada pertemuan itu, dia turut berpesan kepada warga kota yang ingin berhari raya ke kampung halaman agar menggunakan penutup hidung bagi mengelakkan berlakunya penularan virus H1N1.
"Bukan apa, saya menjangkakan penularan menjadi semakin serius kerana ramai dari warga kota pulang berhari raya dan ramai yang saling menziarahi antara satu sama lain.
"Ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penyebaran penyakit tersebut. Jika tidak ramai yang mahu pakai, tiada salahnya jika kita pakai sebagai langkah berwaspada kerana mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: