Monday, September 14, 2009

Pulang raya bawa kit H1N1


SAAT-SAAT gembira meraikan Hari Raya Aidilfitri, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak H1N1. - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Sempena cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 yang merangkumi topeng mulut dan hidung, tisu serta sanitizer ke mana-mana sahaja termasuk semasa berhari raya di rumah sanak saudara bagi mengelak penularan jangkitan selesema babi (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, bagi mereka yang mempunyai gejala selesema dan golongan berisiko, mereka sebaik-baiknya disaran menggunakan pengangkutan sendiri untuk balik ke kampung.

"Bagaimanapun, jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, selain mengamalkan kebersihan tangan pada setiap masa di sepanjang perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut beliau, penumpang pengangkutan awam juga perlu memastikan kertas tisu muka yang sudah digunakan dibuang ke dalam tong sampah yang ditutup supaya tidak menjadi satu sumber jangkitan.

"Setibanya di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri dari orang lain, sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat-tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri," nasihatnya.

Virus H1N1 berjangkit daripada manusia ke manusia melalui titisan cecair pernafasan iaitu ketika bercakap, bersin atau batuk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: