Sunday, September 27, 2009

Nurul tiada kata putus


BAGAI ada rahsia yang bercerita di sebalik mimik wajahnya, namun semuanya ditepis dengan jawapan selamat.


AWAL Ramadan lalu, banyak yang telah disaksikan oleh pengacara ini ketika dibawa penerbangan AirAsia ke bandar raya Beijing, China. Ibu kota itu menjadi persinggahannya yang ketiga di negara tersebut selepas berpeluang menjejakkan kaki ke Guangzhou dan Shenzhen beberapa tahun lalu.

Kali ini, tugas sebagai orang hadapan program Majalah 3 membawa Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin menyelami kehidupan seharian masyarakat Islam di sana. Sama seperti saudara seagama mereka di seluruh dunia, bulan umat Islam menjalani ibadat puasa dilalui dengan penuh warna dan maksud tersendiri.

"Selain menjadi tetamu Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, fokus utama kami adalah sebuah keluarga etnik Uighur ketika berkunjung ke Urumqi. Kami merakamkan aktiviti Ramadan mereka seperti penyediaan hidangan berbuka puasa dan bersembahyang tarawih," ujar Nurul yang disertai produser, Mazlin Nordin.

Antara rumusan yang dapat dicatatkan Nurul tentang penjelajahan selama enam hari itu adalah mengenai komuniti Islam China yang tabah dan bersungguh-sungguh mendalami agama walaupun kekurangan sumber rujukan dan ahli bijak pandai dalam soal pelaksanaan hukum-hakam Islam.

"Apatah lagi di sana terdapat sekatan tertentu oleh pihak pemerintah. Misalnya, laungan azan yang tidak boleh terlalu kuat, bilangan masjid yang tidak cukup untuk menampung para jemaah serta penyediaan kemudahan pengajian agama Islam yang terbatas," katanya.

Namun begitu, Nurul mengagumi bukan sahaja seni bina, malah fungsi beberapa masjid yang sempat dilawatinya. Menurut Nurul, tanpa masjid baru yang serba canggih, kebanyakan masjid lama dipelihara dengan baik. Rumah suci itu sentiasa diimarahkan oleh komuniti Muslim sebagai tempat bersembahyang, dakwah dan juga pendidikan.

"Lebih menarik, anak lelaki keluarga Uighur yang kami lawati merupakan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Dia ada menyatakan betapa dia kagum dengan negara kita yang serba maju dan bebas melaksanakan amalan mengikut syiar Islam," tutur Nurul yang telah berkongsi pengalaman itu dengan penonton di Malaysia melalui siaran khas dua minggu lalu.

Tradisi Aidilfitri

Cabaran membuat liputan di banyak destinasi dunia nyata membuatkan Nurul lebih bersyukur dengan segala nikmat yang dikecapi di tanah air sendiri. Kini seminggu sudah berlalu dalam bulan Syawal, namun Nurul masih terkenang-kenang akan keistimewaan Ramadan sekembalinya dari China.


NURUL banyak merakamkan gambar kenangan ketika mengunjungi China.


"Menjalani ibadat puasa tahun ini paling istimewa kerana saya dapat lebih banyak peluang menunaikan solat sunat tarawih bersama keluarga. Walaupun berada di China hampir seminggu lamanya, semua tugas suntingan dapat diselesaikan mengikut jadual.

"Ketika bertarawih itulah saya berkesempatan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan keluarga," kata Nurul yang mengakui, waktu untuk dihabiskan bersama ibu bapanya sering dibatasi komitmennya dalam tugas pada bulan-bulan selain Ramadan.

Nurul dan keluarga meninggalkan kediaman mereka di Sungai Buloh, Selangor pada malam raya lalu untuk menyambut hari raya di Rembau, Negeri Sembilan. Kelulusan cuti selama seminggu digunakan sepenuhnya untuk melawat datuk dan nenek serta bertandang ke rumah sanak saudara di sekitar Rembau dan Tampin.

"Bagi sesetengah orang, keterujaan untuk pulang ke kampung mungkin begitu hebat kesannya. Namun, bagi kami sekeluarga, ia seolah-olah suatu rutin biasa kerana kunjungan ke rumah nenek dan datuk kerap juga dilakukan sepanjang tahun," ujar gadis berusia 25 tahun ini.

Begitupun, Nurul terpaksa pulang lebih awal pada hujung minggu bagi menyiapkan beberapa tugasan untuk program siaran TV3. Biar kembali sibuk di pejabat, Nurul tidak akan lupa pada keseronokan merasai hidangan raya dan detik mesra melayani kerenah manja sepupu-sepupu yang lebih muda daripadanya di kampung.

Usah layan gosip

Topik yang beralih tentang soal peribadi membuatkan Nurul tersenyum sambil menerima hakikat. Hakikat bahawa jajaan kisah cintanya di media juga sehebat dugaan profesional dalam dunia pengacaraan dan penyiaran.

"Apa yang boleh saya katakan adalah, saya tidak pernah membuat sebarang kata putus mahupun perancangan untuk bertunang mahupun berumah tangga. Tentang gosip yang mengatakan 'hari bersejarah' itu akan terjadi selepas hari raya, semua itu tidak benar.

"Kita perlu menghormati kehidupan dan kerjaya pihak yang digosipkan dengan saya itu. Lagi satu, saya tidak mahu melayani andaian-andaian itu kerana tidak manis untuk pihak perempuan berlebih-lebih bercakap tentangnya," tegas Nurul yang mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya.

Sememangnya Nurul semakin rimas dengan gosip namun dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Sama seperti pelbagai komen buruk yang dilemparkan kepadanya di saluran lain seperti Internet, dia tidak mahu cepat melatah selagi cerita itu tidak benar.

Tiada penyesalan


Antara kenangan ketika mengunjungi China


"Memang akan ada orang yang akan melaporkan semua komen itu kepada saya. Saya diamkan sahaja dan ambil dari sudut positif. Di Malaysia, saya sudah tahu corak dan jangka hayat sesebuah gosip dan kritikan tidak berasas. Ia akan kecoh diperkatakan dan tidak lama kemudian terus lenyap," ulasnya.

Memandang jauh ke dalam jiwa, Nurul sendiri tahu siapa dirinya. Kalau selama ini 70 peratus waktunya sudah dikorbankan untuk bekerja, selebihnya adalah untuk keluarga. Maka, dia tidak mahu membuang sisa waktu itu dengan memikirkan perkara yang bukan-bukan.

"Saya mengejar kenikmatan untuk jadi diri saya sendiri dalam kesempatan yang terhad di luar waktu tugas. Di situlah pentingnya pengisian saya dengan keluarga dan kawan-kawan akrab.

"Apa pun yang saya lakukan, keluarga adalah yang pertama mendapat tahu daripada saya sebelum ia diperkatakan orang," jelasnya.

Pada masa yang sama, Nurul mengakui dia sedang terus memperbaiki diri demi melunaskan tanggungjawabnya kepada majikan.

Ini termasuklah menjaga penampilan seiring imej dan jenama stesen televisyen yang menaunginya, memantapkan skil pengacaraan dan membiasakan diri berinteraksi secara langsung dengan orang ramai.

"Saya hanya manusia biasa dan saya reda dengan dugaan dan cabaran yang saya terima. Tiada sebarang penyesalan bagi saya. Saya tidak memandang ke belakang kerana saya hidup untuk hari ini dan masa depan," katanya.

Jelas sekali, Nurul mahu mengawal perjalanan hidupnya seumpama seseorang yang menonton televisyen.

Kalau seronok dengan sesuatu yang ditonton, tidak perlu disentuh alat kawalan jauh itu. Kalau cerita yang ditayangkan itu membosankan dan tidak memberi apa-apa makna, tidak perlu buang masa, tukar saja ke saluran lain!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: