Friday, September 11, 2009

Fahrin kena tunggu dua tahun tahun




PELAKON jelita dan berbakat besar dalam dunia seni tanah air, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau Scha sekadar tertawa panjang apabila ada tiupan angin yang mengaitkan empunya diri dirisik oleh teman lelakinya yang juga seorang aktor, Fahrin Ahmad baru-baru ini.

Wanita yang berusia 26 tahun itu tanpa berselindung memberitahu, sejak dia dan Fahrin rapat kira-kira 10 bulan lalu, bermacam-macam virus yang bernama gosip bertebaran bebas.

Kalau tempias itu tidak terkena kepada dirinya, ia sudah pasti terkena pada Fahrin, 30, tanpa mampu ditolak ke tepi oleh kedua-duanya setelah beradu nasib di gelanggang seni.

Menjelaskan ceritera kononnya ada upacara merisik, Scha kemudian melantunkan hujah-hujahnya. Seperti biasa ia terdengar cukup ikhlas, berterus-terang dan realistik.

"Kalau saya ada buat sebarang majlis maka sudah tentulah saya akan cakap. Banyak pihak media yang mengetahui sikap saya yang gemar bercakap benar.

"Setakat ini memang tiada apa-apa yang disembunyikan termasuk gosip yang berkaitan saya dirisik oleh Fahrin," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Astro di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wanita yang sarat dengan sikap peramah itu bagaimanapun segera mengisyaratkan kepada pihak media yang menemuramahnya bahawa dia menganggarkan tempoh dua tahun lagi untuk mendirikan rumah tangga. Spontan sahaja jawab Scha tanpa berselindung.

"Insya-Allah saya sasarkan waktu dua tahun untuk berkahwin. Kalau ditakdirkan tercepat daripada jangkaan ini, maka lagi baguslah kepada saya.

"Jika lambat sekalipun, saya tidak kisah. Kalau hendak kahwin pada masa sekarang memang saya tidak bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal.

"Namun saya tidak menafikan kami pernah membincangkan hal yang berkaitan perkahwinan beberapa kali. Cuma ia diungkapkan dalam nada yang bersahaja dan tidak serius.

"Tidaklah sampai cakap bersungguh-sungguh hendak menamatkan zaman solo. Lagipun saya baru berlakon dua tahun. Malah, banyak lagi yang perlu dipelajari untuk bergelar pelakon," terang Scha sambil memberitahu bahawa perhubungan yang terjalin itu mendapat restu daripada keluarga kedua-dua pihak.


FAHRIN sudah mula mengajak Scha berbicara tentang perkahwinan.


Enggan mengamalkan sikap terburu-buru apatah lagi hal yang membabitkan perkahwinan bukan perkara yang boleh dipandang remeh, lantas Scha sekadar mengikut takdir dan ketentuan daripada Yang Maha Kuasa.

"Buat apa saya hendak kelam-kabut kahwin. Lagipun kami hendak menstabilkan diri terlebih dahulu dalam bidang seni sebelum buat sebarang perancangan lain dalam hidup.

"Saya mahu cari duit dulu untuk memudahkan keluarga dan diri sendiri. Selepas saya sudah membantu keluarga dan nama semakin meningkat dalam industri ini, barulah saya akan fikir untuk berkahwin.

"Fahrin juga berfikiran sama dengan saya dalam hal ini. Dia mahu mencari kesenangan kepada bakal isteri dan anak-anaknya kelak.

"Rasanya tidak perlulah untuk terburu-buru dalam situasi ini. Kalau ada jodoh, ia tidak akan ke mana-mana," spontan sahut Scha.

Masih mengenali hati budi

Pantas sungguh masa berlalu. Diam tak diam, sudah menjangkau usia 10 bulan Scha dan Fahrin menjalinkan hubungan istimewa sekali gus menjadi antara pasangan artis merpati dua sejoli.

Bercakap tentang hubungan yang berjalan tanpa disedari, wanita kacukan Arab, Melayu dan Cina itu berkata, dia masih mendalami diri seorang Fahrin walaupun mereka sudah berkenalan rapat kira-kira 10 bulan lalu.

"Saya dan Fahrin masih berusaha mendasari hati dan pemikiran masing-masing. Saya percaya ada banyak lagi perkara yang saya tidak tahu tentang Fahrin.

"Kami masih menyesuaikan diri di antara satu sama lain sebelum meneruskan perhubungan ini ke tahap seterusnya," ujar Scha dalam nada serius.

Cerita bekas pelajar Diploma Teknologi Maklumat, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPTL), Shah Alam, Selangor itu, mereka mengamalkan sikap saling mempercayai sepanjang tempoh perkenalan dan bermulanya bibit-bibit cinta.

Ditambah dunia seni penuh dengan noda-noda hitam berbanding putihnya lalu Scha dan Fahrin harus bijak berdepan dengan segala permainan yang tidak terjangkakan.

"Saya percaya ramai yang suka dengan dia (Fahrin). Tetapi saya lebih suka mengamalkan sikap kepercayaan dan tidak cemburu melulu apatah lagi melihat Fahrin ditarik serta dipeluk erat oleh peminat wanita yang ingin merakamkan gambar dengannya.


SCHA memberikan masa selama dua tahun lagi untuk hidup solo sebelum bergelar isteri.


"Bercakap tentang cabaran terbesar yang dihadapi, saya sebenarnya sudah melanggar prinsip hidup yang diamalkan sebelum ini iaitu jangan jatuh cinta dengan golongan selebriti.

"Tuntutan kerja yang tidak menentu dengan waktu penggambaran yang panjang membuatkan saya berfikir panjang untuk berteman dengan rakan seperjuangan.

"Tetapi semuanya ditentukan oleh Tuhan. Kalau kita kata tidak mahu, itulah yang Tuhan akan berikan kepada hamba-Nya. Ini memang tidak mampu disangkal lagi.

"Selain itu, saya menjalani dugaan hebat apabila hubungan kami didedahkan dan mendapat liputan yang meluas daripada pihak media.

"Saya kena tahu apa yang hendak dicakapkan kepada wartawan kerana ditakuti kenyataan saya bakal melukakan hati Fahrin. Malah saya kena pastikan apa saja yang terlahir daripada mulut kami tidak bercanggah.

"Saya tahu pihak media lebih suka bertanya hal peribadi ini kepada saya berbanding Fahrin. Ini kerana saya lebih gemar berterus-terang manakala Fahrin pula bijak menyusun ayat apabila diwawancara," akui Scha yang ternyata tidak selesa apabila kisah peribadi lebih banyak dicuit daripada kerjaya lakonannya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: