![]() |
| LEONA LEWIS |
GARA-GARA berpisah seketika dengan teman lelaki, Lou Al-Chamaa yang menetap di London, penyanyi British, Leona Lewis mengakui hanya mampu melepaskan rindu menggunakan teknologi Internet.
Leona yang kini tinggal di Los Angeles buat sementara waktu untuk mengumpulkan material yang bakal dimuatkan dalam album terbarunya tanpa berselindung memberitahu kehidupannya menjadi tidak menentu selepas dia dan Lou menjalinkan cinta jarak jauh.
Menjelaskan kepada majalah Britain's Cosmopolitan, Leona berkata: "Cinta jarak jauh memang sukar. Tetapi kita bertuah kerana dengan adanya teknologi canggih maka saya masih dapat berkomunikasi sambil menatap wajah Lou.
"Kami berborak, menghantar e-mel dan menatap wajah di antara satu sama lain menggunakan kamera yang ada di komputer riba. Paling penting, komunikasi kami tetap berjalan secara dua hala sekali gus melepaskan rindu saya kepadanya.
"Terus-terang, saya tidak membencikan Los Angeles. Saya tetap gembira berada di sini sambil melihat pemandangan yang menarik.
"Malah saya juga sempat menunggang kuda. Kali pertama sampai ke sini, saya sendiri tidak pasti sama ada menyukai Los Angeles ataupun tidak.
"Macam-macam perasaan bersarang dalam hati ini. Saya mengambil masa juga untuk menyesuaikan diri berada di tempat orang. Hakikatnya saya lebih suka berada di rumah sendiri sambil ditemani oleh keluarga. Saya cukup merindui keluarga. Malangnya mereka tiada di sini dengan saya."
Walaupun meraih populariti mengejut daripada peminat di seluruh dunia menerusi penghasilan karya, A Moment Like This, Leona menjelaskan empunya diri masih belum selesa dengan keadaan tersebut.
Katanya: "Bukan sebab saya tidak menyukai cara hidup seorang selebriti. Cuma saya rasa tidak mampu menyesuaikan diri dengan dunia glamor. Sesetengah orang tidak dinafikan suka diri mereka disanjung dan dipuja. Tetapi saya lebih suka menjadi orang biasa."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: