Friday, September 4, 2009

Antara hidup dan mati




"ALICIA pernah bagi saya password komputer dia. Kemudian dalam kereta, dia cakap: 'Mommy, I want to say goodbye to you. I am going to heaven'," cerita ibunya, Lim Siew Siew, 41, ketika mengenang kembali waktu anak tunggalnya itu dimasukkan ke sebuah hospital tempatan sekitar April tahun lalu.

Ekoran jangkitan pneumonia yang cukup serius, harapan Alicia Loh, 12, untuk hidup kian nipis. Tahu dirinya akan 'tiada pada bila-bila masa', kata-kata itu jelas menunjukkan betapa Alicia bersedia biarpun berat hati untuk meninggalkan ibu tersayang.

Sebenarnya, Alicia bukan lagi wajah asing yang kerap mengunjungi sebuah hospital bersama kedua-dua orang tuanya. Didiagnos dengan penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) Jenis Kedua (II) seawal usia tiga tahun, zaman kanak-kanak bagi anak kepada pasangan suami isteri, Joseph Loh dan Siew Siew itu sudah tidak seperti kanak-kanak lain.

SMA yang merupakan sejenis penyakit neuromuskular itu mengehadkan pergerakan Alicia. Sel-sel tali pintal tulang belakang yang merosot menyebabkan otot menjadi lemah seiring dengan peningkatan usia. Akibatnya, keupayaan pesakit untuk menggunakan otot juga terbantut.

"Sebab itulah sejak lahir, Alicia tidak pernah merasai pengalaman merangkak, berjalan atau berdiri dengan kakinya sendiri seperti kanak-kanak lain," kata bapanya, Joseph Loh dalam satu pertemuan eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Memerlukan penjagaan perubatan yang komprehensif, rekod perubatan Alicia dijaga oleh lebih lima orang doktor pakar. Bayangkan pada usia sementah itu, dia sudah memiliki satu senarai panel doktor pakar pediatrik daripada pelbagai latar belakang. Antaranya doktor pakar pulmonari, terapi pernafasan, neurologi, penjagaan kritikal, terapi fizikal, nutrisi dan pembedahan ortopedik.


WAJAH Alicia yang bengkak selepas sesi pembedahan selama tujuh jam pada April lalu.


Malangnya, dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, penyakit SMA itu telah menjurus kepada satu lagi masalah sekunder iaitu skoliosis. Skoliosis yang merujuk kepada keadaan tulang belakang membengkok itu bertambah teruk sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Sekian lama bergantung pada bantuan kerusi roda untuk bergerak, kecacatan tulang belakang Alicia kian ketara apabila ia turut memberi kesan pada organ dalaman tubuhnya.

"Sebahagian besar organ dalamannya seakan-akan 'tersepit' akibat lengkungan tulang belakang yang serius. Alicia ada memberitahu, susah hendak bernafas. Apabila duduk, langsung tak boleh luruskan badan dan selalu ada masalah gastrik," cerita Siew Siew lagi.

Berikutan keadaan penyakit yang sudah memberi kesan negatif kepada gaya hidup Alicia, Siew Siew dan suaminya sedar pembedahan untuk membetulkan tulang belakang perlu dijalankan segera. Malangnya, mereka sekali lagi berdepan dengan satu cabaran baru iaitu mendapatkan pakar bedah yang benar-benar berpengalaman.

Klimaks penderitaan Alicia mula menemui sinar baru apabila kesnya sampai kepada pengetahuan seorang pakar bedah tulang belakang kanak-kanak terkemuka di Amerika Syarikat (AS), Dr. George Picetti. Dr. Picetti merupakan pengasas kepada prosedur pembedahan minima tulang belakang.

"Disember lalu, lengkungan tulang belakang Alicia sudah mencecah 70 darjah. Akhirnya, kami terbang ke AS selepas mendapat nasihat Dr. Picetti tentang perkembangan tahap kesihatan anak saya pada Februari lalu.


ALICIA juga gemar bermain catur cina.


"Tarikh pembedahan ditetapkan pada 3 April 2009. Pada ketika itu, lengkungan tulang belakang Alicia sudah mencecah 100 darjah. Kata doktor, itu satu perkembangan berbahaya dan memerlukan pembedahan segera. Sebabnya, kapasiti paru-parunya untuk menerima oksigen berada di bawah 40 peratus," katanya yang menjadi suri rumah sejak Alicia dilahirkan.

Jika kapasiti pengambilan oksigen dalam paru-paru merosot sehingga 30 peratus ke bawah, pembedahan membawa lebih banyak risiko. Itu antara soal hidup dan mati. Pembedahan yang berlangsung selama tujuh jam di Pusat Perubatan Sutter di Sacramento, California turut dipantau oleh dua pakar neurologi dan pakar anestetik.

Satu belahan sepanjang 20 inci pada belakang tubuh Alicia dibuat sebelum dua batang logam titanium yang tirus dimasukkan dan diselarikan dengan tulang belakang. Sebanyak 18 batang skru berukuran satu setengah inci dipasang pada tulang yang dipenuhi urat saraf. Silap prosedur atau cuai, Alicia mungkin menjadi lumpuh.

Belahan dari tengah leher (T2) sehingga ke kawasan pelviks menyebabkan anggota bahagian atas seperti leher hilang kawalan sementara. Malah, kesukaran Alicia untuk membengkokkan leher juga merupakan satu kesan sampingan daripada pembedahan tersebut.

Azam Alicia untuk pulih begitu kuat sehinggakan dia keluar wad enam hari lebih awal daripada jangkaan 12 hari di unit rawatan rapi dan wad biasa. Meskipun faham akan kesempitan kewangan keluarga untuk menampung kos pembedahan yang mencecah AS$250,000 (RM884,432), rayuan Alicia hanya satu: "Dad & Mom, please give me a chance to live."

Joseph yang bekerja sebagai seorang pelabur eksekutif merupakan satu-satunya punca pendapatan keluarga. Namun, pembedahan Alicia belum berakhir.


SIEW SIEW berada di samping anaknya sepanjang sesi rawatan berlangsung di AS.


"Dia perlu menjalani dua lagi pembedahan susulan iaitu rawatan sel stem dan pembedahan pelviks. Kos kedua-dua pembedahan itu dianggarkan AS$150,000 (RM529,500). Kami amat mengharapkan sumbangan orang ramai supaya Alicia boleh hidup senormal mungkin seperti orang lain," tambah Siew Siew.

Alicia yang sudah kembali ke kediaman keluarganya di Bukit Beruntung, Shah Alam, Selangor ketika dihubungi Kosmo! berkata, dirinya beransur pulih. Merindui Malaysia khasnya makanan tempatan sepanjang setengah tahun berada di AS untuk sesi rawatan dan pembedahan, dia ada sebab kedua untuk rasa bersyukur.

Peminat nombor satu ikon program realiti, American Idol, David Archuleta itu juga dipertemukan dengan idolanya pada 21 Jun lalu di konsert Del Mar, San Diego, AS. Pertemuan impian yang berlangsung hampir 30 minit itu telah diatur oleh kumpulan peminat David, Team Archie dan Forum Loving Archie yang kerap mengunjungi blog Alicia (www.alicialoh.com).

Sebelum mengakhiri perbualan telefon, saya terkejut, gembira dan tidak sangka. Alicia telah membawa artikel yang pernah saya tulis tentang bakatnya ke AS. Tidak ada apa yang hendak diberi kepada David untuk ditandatangani, dia menghulurkan keratan akhbar itu.

"Memang pada awalnya nak bawa keratan akhbar Cina sekali. Tapi, saya fikir, tiada siapa yang pandai membacanya.

"Walaupun David tak faham BM tetapi dalam artikel itu ada gambar, namanya dan perkataan 'obses'. Lagipun ejaan 'obses' dalam BM hampir sama dengan ejaan bahasa Inggeris. Jadi, dia fahamlah saya obses terhadapnya," ujar Alicia sambil menyifatkan kedua-dua pembedahan dan pertemuan bersama ikon American Idol itu sebagai satu keajaiban.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: