Tuesday, September 1, 2009

Akrab sehingga ke akhir hayat




Ketua kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam terkenang saat bersama Ustaz Asri

MEREKA memang sungguh akrab. Malah hubungan Mohd Asri Ibrahim yang memimpin kumpulan nasyid Rabbani dengan Isman Nadim Isam yang mengepalai Hijjaz, lebih daripada seorang sahabat. Malah kedua-duanya yang sebelum ini berpayung di bawah satu bumbung, Nada Murni, bagaikan adik-beradik.

Bagaimanapun, 'perpisahan' mereka untuk memperluaskan irama nasyid tanah air tidak sedikitpun membuatkan hubungan semakin renggang, malah sebaliknya mereka semakin akrab dan saling memberi galakan.

Persahabatan Isman dan Asri yang menjangkau lebih 25 tahun itu meninggalkan banyak nostalgia yang sukar untuk dilupakan. Mana tidaknya, daripada hidup membujang sehinggalah masing-masing bertemu jodoh dan kebetulan disatukan dalam satu majlis akad nikah oleh kadi yang sama.

Al-kisahnya, seminggu selepas majlis itu, dua pasangan pengantin baru ini sepakat meraikan bulan madu di Kota Keriangan, Genting Highlands selama tiga hari yang ditaja sepenuhnya.

Bayangkanlah dua kelamin yang sedang asyik menunggang bumble car dan menyusuri laluan roller coster diperhatikan orang sekeliling kerana setiap permainan yang mereka naiki itu tidak dibenarkan bercampur dengan orang awam lain.

KELUARGA arwah Asri turut hadir.

Begitu istimewa mereka dilayan pengurusan Genting Highlands seolah-olah seperti raja kerana mengenangkan perjuangan dakwah yang dibawa mereka melalui irama nasyid. Justeru, semua tentu maklum perasaan sedih yang membelenggu Isman saat mendapat tahu sahabatnya itu sudah pergi menyahut panggilan Ilahi pada 13 Ogos lalu.

"Lebih 25 tahun saya mengenali arwah sebagai seorang sahabat yang sangat baik. Betapa sedihnya saya dan anggota Hijjaz yang lain apabila tidak dapat menghadiri majlis pengebumian Asri. Seperti Tuhan tidak mahu menemukan kami pada saat akhir," katanya yang ditemui selepas majlis tahlil dan berbuka puasa yang diadakan khas untuk arwah Asri dan meraikan ikatan ukhwah Hijjaz dan Rabbani di Teratak Hijjaz, baru-baru ini,

Mengimbau semula saat yang memilukan itu, Isman berkata, pada hari itu Hijjaz baru saja tiba di Kota Bharu, Kelantan kerana menghadiri satu majlis. Mereka tiba jam 8.30 pagi dan sebaik melangkah ke bilik sekitar jam 10.30 pagi, Munif mengetuk pintu biliknya dan mengatakan yang Asri sudah tiada.

"Saya tidak fikir apa yang dikatakan itu tidak benar kerana saya tahu soal kematian bukan boleh dimain-mainkan," katanya yang terasa seluruh tubuhnya menggeletar dan longlai saat mendapat khabar sedih itu.

KUMPU LAN Rabbani tanpa Asri membuat persembahan selepas majlis tahlil.

Keputusan terus dibuat untuk menempah tiket pulang ke Kuala Lumpur dengan kadar segera, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kami berpakat untuk berpatah semula ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang. Malangnya semua kapal terbang dari semua syarikat dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur sudah penuh hari itu. Rupanya pada hari Khamis ramai orang Kota Bharu ke Kuala Lumpur kerana Jumaat mereka mula bercuti.

"Saya terus berikhtiar untuk pulang juga. Terfikir juga jika ada sesiapa yang ada motosikal masa itu saya sanggup menunggang pulang ke Kuala Lumpur. Terasa sangat hendak berjumpa Asri dan menatap buat kali terakhir wajahnya.

"Jam sudah menunjukkan 12.30 tengah hari, saya juga dikhabarkan yang arwah akan disemadikan selepas Asar dan sekiranya saya menaiki motosikal pada masa itu pasti tidak sempat. Setelah hampir petang saya mendapat maklumat yang Asri akan dikebumikan selepas maghrib. Alangkah hampa dan kecewanya saya kerana jika saya nekad menaiki motosikal pasti saya akan berjumpanya," katanya lagi.

Sepanjang malam hanya doa dan bacaan Yasin dibaca setiap anggota Hijjaz di bilik masing-masing sebagai tanda sayangnya kepada sahabat yang akan dikenang sampai bila-bila.

Menurut Isman yang juga Pengarah Urusan Hijjaz Trade Corporation (HTC), selepas ini tiada lagi sahabat yang dapat dipeluk dan memeluknya serta bercium pipi seperti kebiasaan dilakukan bersama Asri.

"Kali terakhir kami bersama ketika mengadakan persembahan pada Hari Terbuka stesen radio Ikimfm. Istimewanya pada malam itu, Hijjaz dan Rabbani saja diberikan keistimewaan untuk mengadakan persembahan pada malamnya dan kumpulan nasyid lain sudah melakukan persembahan pada siangnya.

"Selepas majlis itu, kami sama-sama keluar minum bersama. Tak tahulah kenapa malam itu terasa begitu lain sangat daripada pertemuan sebelum ini dan malam itu jugalah malam yang paling panjang. Kami bersembang sehingga jam 3 pagi.

"Terasa berat sangat saat untuk berpisah pada malam itu. Kami berpeluk-peluk seolah-olah suatu perpisahan panjang akan berlaku selepas ini. Asri memeluk saya sangat kuat dan berkali-kali serta kami bercium pipi," katanya.

Hasrat adakan konsert tak sampai

TIDAK banyak pesanan yang ditinggalkan Asri kepada sahabatnya, namun Asri begitu bersungguh-sungguh untuk mengadakan sebuah konsert besar menggabungkan Hijjaz dan Rabbani dalam konsert Nostalgia Nada Murni yang dirancang selepas raya ini.

"Pesanannya kepada saya untuk menggegarkan negara dengan konsert Nostalgia Nada Murni selepas raya ini adalah projek terbesar yang ingin dia laksanakan dalam masa terdekat ini dengan menyatukan kembali Hijjaz dan Rabbani seperti mana kami bersama semasa Nada Murni dulu.

"Asri sangat rapat dengan Hijjaz, ada kalanya dia selalu berkunjung ke pejabat kami dan kadang kala sampai tertidur di pejabat. Ada empat hingga lima album zikir Asri direkodkan dan diedarkan pihak Hijjaz termasuk satu buku berjudul Jalan Ketakwaan yang ditulis sendiri Asri dan diterbitkan Hijjaz.

"Selain itu, dua album yang menghimpun zikirullah, selawat, doa daripada pahlawan lama seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Tok Gajah dan ramai lagi berjudul Amalan-Amalan Ghaib sudah siap termasuk satu lagi album Ratib Al-Hadad juga bakal diedarkan dalam masa terdekat ini.

"Segala royalti daripada album dan bukunya yang sepatutnya diterima Asri akan diserahkan kepada isterinya. Kita sudah memikirkan yang keluarganya akan menerima lebih daripada yang sepatutnya diterima kerana inilah yang ditinggalkan Asri kepada keluarganya. kami merasakan inilah sedikit balasan daripada kami sepanjang persahabatan ini dan keluarganya berhak menerimanya," katanya.

Nasi Mandi menu kegemaran Asri

MAJLIS tahlil dan bacaan doa selamat yang diketuai anggota Hijjaz, Muhammad Ariffin Ahmad Rahim diadakan jam 6.45 petang sebelum menantikan majlis berbuka puasa. Sebaik majlis berbuka puasa, semua sahabat handai Rabbani dan Hijjaz melakukan solat Maghrib berjemaah di tepi kolam ikan.

Selesai solat, tetamu dihidangkan dengan juadah berbuka. Menariknya, menu yang disediakan di Teratak Hijjaz pada malam itu adalah menu kegemaran Asri iaitu Nasi Mandi yang cukup terkenal di Makkah dan Madinah.

Seperti yang dirancang, majlis malam itu turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada sahabat nasyid seperti UNIC, Leia Az Zahra Justin Abdullah, Hijjaz dan yang ditunggu-tunggu adalah daripada Rabbani sendiri.

Malam itulah adalah kemunculan pertama Rabbani tanpa Asri, namun kehadiran Zulkiflee Azman yang dikatakan anggota paling layak menggantikan tempat Asri turut membuat persembahan.

Pada majlis itu, Hijjaz turut mengatur persembahan khas dengan menyanyikan lagu tema berjudul Kau Sahabat Kau Teman yang cukup menyentuh perasaan semua yang mendengarnya. Lirik indah yang ditulis Munif mampu mengalirkan air mata sesiapa yang mendengarnya.

Kau Sahabat Kau Teman

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah, tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatihah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: