Sunday, September 6, 2009

Akhil mahu kecapi kebahagiaan




PASANGAN pengantin baru, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi Waheeda, 30, yang diijabkabulkan pada 16 Ogos lalu mengharapkan semua pihak tidak terus mempertikaikan keputusan mereka mendirikan rumah tangga.

Hasrat mereka hanya satu supaya selepas ini tiada lagi fitnah yang dilemparkan apabila mereka membuat keputusan untuk menjadi suami isteri yang sah di sisi agama Islam.

Tetapi malang sekali setelah menjadi suami hampir sebulan lalu, dugaan yang melanda semakin buruk.

Perkara itu diakui sendiri oleh Akhil yang amat kecewa dengan mentaliti sesetengah masyarakat yang tidak habis-habis cuba memberikan persepsi buruk terhadap keputusannya itu.

Mungkin ramai yang terkejut apabila Akhil mengambil tindakan menikahi Waheeda kerana selama ini mereka hanya mendakwa hubungan itu sekadar kawan biasa saja.

Peminat menganggap pasangan itu tidak bercakap jujur mengenai hubungan sebenar mereka. Maka apabila keduanya membuat keputusan berumah tangga, pelbagai tohmahan mula diperkatakan.

Memburukkan lagi keadaan apabila bekas isteri Akhil iaitu Maizawati Zainal turut mengulas mengenai perkahwinan berkenaan yang seolah-olah memperlihatkan “siapa yang buruk” selama ini.

Ketika ditemui pada sidang media Astro Megaraya Screenings 2009 di Bukit Jalil pada 27 Ogos lalu Akhil menjelaskan bahawa dia sebenarnya berada di dalam keadaan tidak selesa dengan cakap-cakap orang sejak kebelakangan ini.

Dugaan selepas berkahwin sebenarnya paling berat berbanding ketika dia menjadi penceramah politik suatu ketika dahulu. Ini kerana hinaan yang dilemparkan termasuk tulisan di blog-blog tertentu melibatkan maruah yang memberi gambaran seolah-olah dia membuat keputusan salah mendirikan rumah tangga walaupun secara sah.

Tetapi kata Akhil, dia masih boleh tersenyum walaupun dihina tetapi sedih apabila Waheeda pula dituduh seperti “suka” dengan perkahwinan itu.

“Cuba bayangkan jika anda berada di tempat ana (saya). Tentu anda akan rasa tertekan apabila orang terus melemparkan tuduhan yang bukan-bukan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Akhil turut melahirkan rasa kecewa apabila ramai yang mempertikaikan gelaran ustaz yang selama ini dijadikan panggilan kepadanya kerana gelaran itu dianggap murni oleh umat Islam.

Kata Akhil, dia tidak harus dipersalahkan kerana gelaran itu bukan datang daripadanya tetapi orang ramai yang menyebutnya dulu. Ia berlaku mungkin kerana tugasnya yang mengajar mengaji al-Quran kepada kanak-kanak semasa menetap di Ipoh dahulu.

Mengakui dirinya bukan seorang ustaz, Akhil berharap tohmahan yang bukan-bukan tidak terus diberikannya kerana dia juga inginkan kebebasan dan mempunyai hak untuk menjaga maruahnya sendiri.

“Orang mempertikaikan ana ustaz. Ana memang bukan ustaz. Ana tak suruh orang panggil ana ustaz,” katanya.

Walaupun seseorang itu ustaz atau pun ulama kata Akhil, mereka adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

menghormati

Tetapi selepas mengambil keputusan untuk berkahwin tambah Akil, semua pihak harus menghormati tindakannya itu kerana apa yang dilakukannya bukanlah satu kesalahan jenayah.

Menurut Akhil, dia sekarang mahu memberi tumpuan terhadap rumah tangga yang baru dibina dan secara ikhlas mahu memaklumkan dia sebenarnya bahagia dengan perkahwinan itu.

Malah Akhil juga sibuk dengan persiapan resepsi perkahwinan mereka pada 31 Oktober akan datang di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Majlis sebelah pihak lelaki pula akan diadakan di Dewan Sri Gopeng, Ipoh Perak, pada 7 November.

Ditanya adakah benar dakwaan gara-gara perkahwinan itu beberapa program televisyen melibatkan Akhil terpaksa ditamatkan, beliau menafikan tuduhan tersebut.

Sebaliknya kata Akhil aktivitinya padat seperti biasa selain mendapat banyak undangan untuk memberi ceramah termasuklah di luar negara.

Cuma ujar Akhil meminta masyarakat supaya tidak terus menghukumnya kerana dia juga perlukan ruang untuk hidup seperti orang lain.

“Apa yang berlaku banyak memberi pengajaran kepada ana. Ana banyak belajar untuk menempuhi cabaran yang sukar apabila ia melibatkan maruah dan harga diri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: