Sunday, September 27, 2009

Aaron Aziz suka suasana kampung


Keluarga tetap menjadi keutamaan Aaron biarpun sibuk dengan karier lakonannya.


SELALUNYA impian seorang insan yang membesar di bandar untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana kampung. Kedamaian dan ketenangan serta suasana penuh muhibah menjadi pemikat utama.

Begitulah yang diimpikan pelakon yang berasal daripada Singapura, Aaron Aziz. Walaupun kepesatan pembangunan adalah penanda aras kemajuan tetapi dia lebih sukakan suasana semulajadi.

“Mungkin juga sudah 33 tahun saya dapat rasakan perbezaan suasana beraya di bandar dan kampung. Walaupun saya tidak mempunyai kampung kecuali di Pasir Ris, Singapura tetapi pengalaman berada di kampung tidak boleh dilupakan.

“Saya pernah menjalani penggambaran di Terengganu pada bulan puasa dengan membawa bersama isteri, Diyana Halik dan dua orang anak pada tahun lepas. Di situ, saya dapat rasakan suasana yang amat tenang. Kebetulan tempat tinggal kami berhampiran dengan laut,” kata bapa Danish Anaqi, 5, dan Dwi Ariana, 3 ini.

Menerusi pemerhatian pelakon wajah eksklusif Astro ini, kebanyakan orang kampung mengamalkan gotong-royong dalam segala perkara. Dari sekecil-kecil majlis keraian sehingga sebesar-besar perayaan.

Disebabkan faktor itu, sebolehnya dia tidak akan melepaskan peluang membawa keluarganya ke mana-mana lokasi berada di luar bandar. Baginya, tidak ada kejanggalan untuk tinggal di desa asalkan pandai menyesuaikan diri.

“Cerita tentang nyamuk, pacat, lalat dan unggas yang ada, itu adalah perkara biasa. Kalau tak mahu kena gigit nyamuk, sediakan penghalau nyamuk dahulu. Tetapi kena fikirkan juga suasana malam. Saya paling tunggu saat ini sebab di situlah titik kedamaian buat diri sendiri,” katanya.

Aaron juga berhasrat meraikan Hari Raya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, keadaan sibuk berubah lenggang dan sunyi terutama hampir Hari Raya apabila kebanyakan warga kota pulang ke kampung masing-masing.

Isteri Aaron, Diyana yang paling sibuk memastikan keperluan di rumah. Masakan tidak, sebelum bulan puasa lagi, dia sibuk membeli belah di sekitar Masjid India kerana tidak mahu bersesak pada saar-saat akhir.

“Aaron juga sukakan dengan fesyen baju Melayu yang ada di sini. Banyak pilihan dengan harga yang berpatutan. Selalunya, Diyana menentukan warna dan konsep apa yang dipakai setiap raya. Saya pula lebih senang cara ringkas,” kata Aaron yang rimas memakai samping baju Melayu dalam tempoh yang lama.

Tahun ini, Aaron sekeluarga meraikan 1 Syawal di rumah ibu mentuanya sebelum pulang ke rumah ibu bapanya yang memakan masa lebih kurang 10 minit memandu.

“Sempena lebaran tahun ini, kami sekeluarga menempah tiga pakaian setiap seorang. Dua pasang dengan pereka fesyen, Hatta Dolmat dan sepasang lagi dengan butik Dezzaine. Pakaian itu yang digunakan sepanjang beraya di sana sebelum kembali ke Kuala Lumpur,” katanya.

Aaron juga bercadang untuk mengadakan rumah terbuka di rumahnya di Sunway Damansara tetapi masih belum memberi tarikh kerana terikat dengan penggambaran filem dijangka dibuat di Langkawi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: