Wednesday, September 2, 2009

70 hidangan sehari


HOTEL Maluri menyajikan selera ala kampung yang beraneka.





Tidak tahu ke mana hendak dituju untuk berbuka puasa? Apa kata kalau anda mencuba keenakan hidangan yang disediakan di Hotel Maluri.

Mengangkat tema ala kampung beraneka, fokus akan diberi kepada kepelbagaian dan keenakan masakan kampung. Lebih menarik lagi, menunya akan ditukar pada setiap hari.

Antara menu yang telah disenaraikan adalah nasi tomato, ayam masak merah, kari kepala ikan, ketam masak lemak, daging bakar dan ikan masak lemak cili padi. Selain itu, masakan seperti nasi hujan panas, ayam masak kicap, sambal udang petai, sayur lodeh dan banyak lagi turut menanti pengunjung.

Sebagai pencuci mulut pula, kuih-muih tradisional tersedia untuk anda menikmatinya. Jangan lupa merasai manisan kegemaran anda seperti bubur cha cha, puding jagung dan sago gula Melaka.

Jika tahun lalu, Hotel Maluri menyediakan sebanyak 101 hidangan, kali ini jumlah itu dikurangkan kepada 70 hidangan sahaja.

Menurut Pengurus F&B Hotel Maluri, Kamarul Zaman Mohd. Siraji, pengurangan jumlah menu bukannya kerana hendak berjimat atau sebagainya, tetapi kerana ingin menumpukan kepada kualiti.

"Ini bermaksud konsistensi terhadap aspek rasa makanan yang enak dapat diberi agar pelanggan berpuas hati," kata Kamarul Zaman.

Muzik

Bukan itu sahaja, ruang makan Raintree Café yang mampu memuatkan sehingga 180 orang pengunjung pada satu-satu masa juga telah menerima penambahbaikan. Ia melibatkan perubahan kedudukan meja bufet ke bahagian tengah, selain tiga buah gerai yang menyediakan hidangan seperti makanan bakar, mi serta ais kacang, cendol dan laicikang.

Ketika menikmati juadah, para pengunjung akan dihiburkan oleh sekumpulan enam pemain muzik gamelan yang bermain secara langsung pada setiap hujung minggu.

Menyasarkan kepada kelompok pelanggan seperti jabatan-jabatan kerajaan, pengunjung dari luar bandar yang datang ke Kuala Lumpur kerana ada urusan kerja dan orang awam, hotel bertaraf tiga bintang ini menjanjikan perkhidmatan terbaik.

"Lagipun, Hotel Maluri terletak di lokasi yang hampir dengan pusat bandar. Hanya 20 minit ke Bukit Bintang. Bilik-bilik sebanyak 238 unit juga baru diubahsuai dengan kadar penginapan yang cukup berpatutan," tambahnya.

Bermula pada pukul 7 malam, bufet Ramadan di hotel ini akan berakhir pada 9.30 malam. Harga yang ditawarkan adalah RM53++ untuk dewasa, RM37++ (kanak-kanak) dan percuma untuk anak yang berusia enam tahun ke bawah.

Bagi mereka yang ingin bersahur pula, hidangan ala carte dan set ada disediakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: