|
|
KEMUNCULAN jejaka kacak bernama Michael Buble (disebut Boo-Blay) ini sememangnya mencetuskan fenomena luar biasa. Cukup masyhur menerusi lagi Sway yang dimuatkan dalam album perdananya, Michael Buble, lagu itu benar-benar meletakkan nama Michael di puncak tertinggi.
Penghibur kelahiran British Columbia, Kanada ini harus diakui memang benar-benar telah mencuri perhatian peminat muzik di seluruh dunia.
Masakan tidak, di kala kebanyakan penyanyi baru ketika itu memilih muzik yang menepati jiwa mereka, tetapi Michael sebaliknya.
Dia selesa memilih genre muzik yang jauh lebih dewasa daripada umur sebenarnya iaitu big band, jazz dan swing.
Kalau dilihat pada muzik sebegitu, ramai yang mengandaikan ia hanya sesuai untuk orang dewasa mahupun tua sahaja.
Tetapi, percaturan Michael untuk muncul dengan konsep muzik sebegitu memang tidak silap dan ia sememangnya sesuai dengan imej serta vokalnya.
Apatah lagi, Michael mendapat didikan daripada penerbit album dan lagu tersohor, David Foster yang menyifatkan Michael seorang artis yang cukup berbakat.
"Cuma kadang-kadang dia sendiri tidak sedar akan kebolehannya dan kelebihan yang ada dalam dirinya itu. Pada mata saya, dia adalah seorang yang cukup unik.
"Personaliti dan muziknya merupakan kombinasi Mel Torme, Bobby Darin, Sammy Davis dan juga Frank Sinatra serta termasuk beberapa orang penyanyi moden hari ini," katanya yang ditemukan dengan Michael pada satu majlis perkahwinan sekitar tahun 2000.
Malah, di awal pembabitan Michael, David enggan mengambilnya menjadi artis rakaman kerana tidak tahu bagaimana hendak menetapkan hala tuju muzik.
Tetapi selepas enam tahun bergelar artis, pelaburan dan percaturan itu ternyata membuatkan hasil yang cukup lumayan.
Michael kini menjadi antara penyanyi lelaki yang berjaya dengan penjualan album melebihi 30 juta unit di seluruh dunia.
Selepas muncul dengan tiga buah album studio iaitu Michael Buble (2003), It's Time (2005) dan Call Me Irresponsible (2007), kini dia sudah bersedia menggegarkan dunia dengan buah tangan terbarunya.
Album yang diberi judul Crazy Love itu telah mencatatkan rekodnya yang tersendiri apabila berjaya menduduki tangga pertama carta Billboard 200 dengan penjualan sebanyak 132,000 salinan pada tiga hari pertama sahaja.
Lantas menjadikan album Crazy Love sebagai album keduanya yang menduduki tangga pertama selepas album Call Me Irresponsible.
Bagi Michael, dia sememangnya cukup berpuas hati dengan penghasilan Crazy Love dan menyifatkannya berbeza dengan tiga album sebelum ini.
Sentuhan muziknya tetap sama. Cuma, kata Michael apa yang membezakannya adalah dari segi penghasilan dan rakaman yang disifatkan sebagai kembali ke akar umbi.
"Saya mahu album ini memiliki jiwa yang sama seperti mana idola saya merakamkan album mereka dahulu.
"Dan, cara mereka itu telah berjaya mengekalkan keaslian dan nilai estetika lagu-lagu mereka sehingga mampu meninggalkan impak hingga ke saat ini.
"Kerana itu saya mahu album Crazy Love ini mempunyai elemen itu agar ia mampu menjadi sebuah produk yang bertahan lama dan menjadi rujukan di masa hadapan," kata pemilik nama Michael Steven Buble ini penuh bersungguh tentang album keempatnya itu.
Crazy Love diterbitkan oleh Warner Music dan mula dipasarkan sejak 13 Oktober lalu itu telah mendapat kritikan yang positif dari pengkritik muzik.
Memuatkan 14 buah lagu serta sekeping DVD dokumentari penghasilan album Crazy Love menampilkan lagu Haven't Met You Yet sebagai single pertama yang juga merupakan hasil ciptaan Michael sendiri.
Berbicara lanjut tentang album Crazy Love, Michael yang dilahirkan pada 9 September 1975 itu melihat album ini sebagai menifestasi kepada pasang surut sebuah perhubungan.
"Karya saya selalunya berbentuk autobiografi yang banyak menceritakan tentang kehidupan dan perjalanan hidup saya selama ini.
"Malah, lagu-lagu lama klasik yang saya muatkan dalam album ini juga ada kaitan dengan hidup saya dan semua itu dapat diselami menerusi setiap lagu di dalam album ini," ujarnya yang turut menulis sebuah lagi lagu berjudul Hold On.
Proses rakamannya juga cukup mengujakan Michael apabila semua lagu dirakamkan secara langsung tanpa menggunakan teknologi moden dan terkini.
Jelasnya, memang sengaja dia melakukan semua itu kerana mahukan bunyi dan kualiti yang autentik dan mendapat sentuhan seperti di zaman silam.
"Muzik semuanya dimainkan secara langsung. Saya menyanyi pun tanpa menggunakan fon kepala dan seangkatan dengannya kerana saya mahu mendengar muzik yang asli terhasil daripada rakaman album ini.
"Walaupun melakukan kesilapan dan kesalahan, kita tahu di mana ruang yang perlu diperbetulkan lantas menjadikan proses rakaman lebih menarik dan seronok," jelasnya tentang album yang memakan masa selama enam bulan untuk dihasilkan itu.
Crazy Love masih lagi mengekalkan sentuhan mentor Michael iaitu David Foster bersama-sama Bob Rock dan Humberto Gatica selaku penerbit.
Apa yang menarik, album ini menjalani rakaman di tiga buah kota metropolitan iaitu Los Angeles dan New York, Amerika Syarikat serta Vancouver, Kanada.
Mengulas tentang kerjaya seninya yang sudah pun mencecah enam tahun itu, Michael memang tidak menyangka kehadirannya di dalam dunia muzik diterima dengan baik.
Malah, setiap hasil kerjanya diterima dengan cukup positif biarpun harus menerima kritikan dari pelbagai pihak.
Namun, jejaka berusia 34 tahun ini melihat semua itu sebagai satu pembakar semangat selain mahu memperbaiki dirinya untuk menjadi seorang penghibur yang disegani.
"Saya sesekali tidak akan melakukan perkara yang bukan jiwa saya. Masih segar dalam ingatan saya sewaktu saya mula-mula muncul dulu apabila mereka menyamakan saya dengan Julio Iglesias.
"Masyarakat tidak tahu personaliti sebenar saya dan mereka juga tidak kenal saya sebagai seorang individu.
"Ramai juga yang mempunyai persepsi yang mengatakan muzik saya ini hanya sesuai untuk golongan tua sahaja tetapi hakikatnya, semua itu adalah silap," ujarnya panjang lebar.
Bukan itu sahaja, dia juga kesal apabila sesetengah pihak mendakwa dia tidak mampu untuk menulis karyanya sendiri dan hanya tahu menyanyikan semula lagu-lagu lama.
Tetapi, Michael berupaya mematikan tanggapan itu apabila dia muncul dengan lagu Home yang dimuatkan dalam album keduanya, It's Time dan menjadi salah sebuah lagu popular.
"Daripada situ, barulah mereka tahu saya boleh menghasilkan karya sendiri. Tetapi, saya bukanlah seorang yang mampu mencipta lagu setiap hari.
"Saya perlu gembira atau sedih apabila menghasilkan sesuatu karya
"Semua lagu-lagu saya adalah tentang cinta dan apa yang anda dengar semuanya memiliki keindahan dan perasaan cinta di dalamnya," jelasnya yang pernah memenangi Grammy bagi kategori Album Vokal Pop Tradisional Terbaik untuk album Call Me Irresponsible tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: