Sein dan Nana. |
Pasangan Sein dan Nana berjaya ketepikan pasangan pilihan Sazzy dan Nazril
ANDAI dilihat dari segi persembahan, tidak dinafikan lenggok tari dan aksi pasangan Sazzy dan Nazril cukup menarik ketika kemuncak Sehati Berdansa musim ketiga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu.
Apabila memberi pujian kepada pasangan itu, bukan bermakna persembahan yang ditonjolkan pasangan lawan mereka iaitu Sein dan Nana tidak bagus, cuma sejak awal lagi, Sazzy dan Nazril memang sering kelihatan memang hebat di lantai tari.
Masih terbayang betapa seksanya rutin tarian yang diberikan kepada Sazzy dan suami. Memanjat, dibaling, dihayun, dipikul, semua aksi yang sukar, rumit dan menyakitkan pernah dilakukannya.
Namun itu semua dilaksanakan dengan rela demi kerana kebajikan serta ingin merapatkan hubungan suami isteri yang ada kalanya terlupa dek kesibukan bekerja. Kehebatan pasangan ini menjadi buah mulut ramai sehingga mereka diramalkan bukan saja berjaya melangkahkan kaki ke peringkat akhir, malah tidak mustahil bakal menjulang trofi juara.
Begitupun, kita hanya mampu menaruh harapan tetapi Tuhan menentukan segala-galanya. Biarpun menunjukkan persembahan cemerlang, Sazzy dan suami terpaksa akur bahawa gelaran juara bukan milik mereka.
PASAngAn Sazzy dan nazril ligat di lantai tari. |
Sebaliknya, Sein dan Nana yang turut memberikan cabaran sengit kepada pasangan Sazzy akhirnya dipilih juara Sehati Berdansa edisi ke-3. Paling membanggakan Sein menerima undian sebanyak 84 peratus, satu jumlah yang cukup hebat yang pernah diraih juara Sehati Berdansa.
Itulah yang berlaku apabila juri menjadi juri. Bukan menidakkan kemampuan Sein dan Nana tetapi melihat kepada jumlah yang diterima mereka ternyata, bukan kuasa tarian yang membawa kepada kemenangan mereka, tetapi juga kuasa wang.
Tanggapan ini disangkal sekeras-kerasnya. Tegas Sein dan Nana, walaupun tidak menafikan sokongan keluarga adalah faktor kejayaan, namun pada masa sama, mereka juga berusaha memberikan yang terbaik kepada semua pihak.
"Saya sudah agak tentu ada pihak mengatakan kemenangan ini disebabkan bantuan keluarga yang sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk mengundi. Saya tak nafikan perkara itu kerana kalau bukan keluarga yang membantu, siapa lagi?
“Tapi pada masa sama kami juga berusaha memberikan persembahan terbaik. Lagipun dalam persembahan mingguan, kami bukan selalu berada di tempat teratas. Ada kala kami di atas, malahan ada masa kami tercorot,” jelas Sein tenang.
Bagi Nana pula, dakwaan itu bukanlah satu perkara baru buatnya.
"Sebelum ini, sewaktu menyertai pertandingan Mentor, ramai mengatakan perkara sama, membuat andaian mengatakan saya akan menang. Namun andaian itu silap dan saya tersingkir juga.
"Kami berlatih bersungguh-sungguh sehingga badan saya lebam-lebam. Ada ketika kami bertekak juga gara-gara latihan yang tak pernah mengenal erti penat ini. Saya akui, pasangan Sazzy memang mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Mereka mampu membuat aksi tarian yang mencabar dan saya tidak mampu mengikut cara mereka. Jadi kami cuba usaha dengan cara lain supaya persembahan kami nanti juga akan disukai ramai," ujar Nana.
Sementara itu,Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Zainir Aminullah berpuas hati dengan kejayaan Sehati Berdansa musim ketiga walaupun sepanjang ia disiarkan, berlaku pelbagai kontroversi.
"Kami lebih memfokuskan kepada hal produksi. Jika penganjurannya lancar, kami anggap itu sudah berjaya. Sama ada kontroversi itu ada kaitan dengan kejayaan program ini, saya rasa ia ada kaitan tapi bagi kami. Apa yang lebih penting adalah hal produksi, jika skripnya bagus, perjalanannya lancar, itu sudah memadai,' kata Zainir.
Tewas sebab artis urban?
SEBAIK saja memberi kata persetujuan untuk menyertai program realiti ini, Sazzy sudah mengatakan pada dirinya yang dia tak mungkin akan membawa pulang trofi juara. Perasaan itu semakin kuat apabila dia mendapat tahu pasangan Sein adalah antara yang sering mendahului peserta lain dari segi kiraan undian SMS.
"Berdasarkan undian yang diterima Sein sepanjang minggu, saya mengatakan pada diri sendiri supaya lupakan saja untuk bersaing, lebih memberikan tumpuan untuk memberikan yang terbaik dalam pertandingan itu.
"Lagipun, saya tak rasa artis urban macam saya ini boleh menang. Dan itulah juga sebab mengapa saya agak sukar untuk memberi kata persetujuan menyertai program ini selain kesibukan kami" jelas Sazzy menyatakan alasan sebenar.
Pada malam itu, Sein dan Nana serta Sazzy dan Nazril menarikan tarian solo Kurik Kundi versi Perak dan Kelantan manakala dalam kategori Battle, mereka menarikan irama Latin menerusi lagu Paso Doble & Arrasando.
Selaku juara, Sein dan Nana menerima hadiah sebuah kereta - Audi A4 (1.8) tajaan Euromobil Sdn Bhd, pakej bulan madu ke Rom, Itali, trofi serta menyumbangkan dana sebanyak RM20,000 untuk disalurkan kepada rumah kebajikan yang mereka wakili iaitu Persatuan Albinisma Kuala Lumpur & Selangor.
Manakala Naib Juara pula menerima menerima hadiah pakej bulan madu ke Australia, trofi serta wang sumbangan sebanyak RM15 ribu kepada rumah Persatuan Parkinson Malaysia.
Juri pada pertandingan akhir Sehati Berdansa pada malam itu terdiri daripada Josep Gonzales sebagai juri tetap, Linda Jasmine dan juara Sehati Berdansa musim lalu, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: